Mahkamah Sesyen Temerloh hari ini menangguhkan perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dan ejennya, Halimi Kamaruzzaman kepada 9 April.

norza zakaria interview 080807 restricted Hakim Azuar Che Yusof menetapkan tarikh itu selepas peguam Jahaberdeen Mohd Yunoos yang mewakili Halimi memohon penangguhan berikutan peguam Mohamad Norza, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat hadir pada perbicaraan hari ini kerana masalah kesihatan.

Mohamad Norza ( kiri ), 43, yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung Umno Mac tahun lalu.

Mohamad Norza, juga menghadapi satu lagi pertuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan pada pukul 6.30 petang, 20 Januari tahun lalu  di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh.

Halimi, 47, dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan menghadapi dua pertuduhan iaitu memberikan suapan itu kepada Khadri dan Mohammad Anuar bagi pihak Mohamad Norza pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Seramai 13 saksi pendakwaan dipanggil dalam perbicaraan itu setakat ini.

- Bernama