Orang ramai disaran menyambut Hari Kebebasan Akhbar pada 3 Mei depan secara besar-besaran sebagai membantah tindakan kerajaan yang sering menekan media di negara ini.

"Orang ramai sebagai pengguna maklumat harus menuntut liputan media yang bebas, adil dan seimbang daripada setiap pihak (organisasi media) dan mereka harus berperanan aktif menentukan perjalanan media agar tidak terkeluar daripada etika kewartawanan dan moral," kata jurucakap Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami), Ahmad Lufti Othman hari ini.

Beliau juga berkata perkembangan yang berlaku dalam tempoh beberapa bulan lalu menunjukkan "kerajaan sengaja dan sepakat menguatkan tekanan terhadap media bebas dan pengkritik kerajaan."

Kementerian Dalam Negeri (KDN) melambat-lambatkan kelulusan untuk mengedarkan dua majalah mingguan luar negara Asiaweek dan Far Eastern Economic Review sejak empat edisi lalu. Majalah-majalah ini sering membuat laporan yang tidak disenangi oleh pemimpin Malaysia.

Menurut Lutfi, tiga pengedar bahan terbitannya di Selangor akan didakwa di mahkamah hujung bulan ini.

Sementara itu pengendali laman web 'Kempen Bebaskan Anwar' (FAC) Raja Petra Kamaruddin dilaporkan akan disiasat berhubung beberapa tulisannya dalam laman web itu yang dikatakan "menghasut."

Hari ini, akhbar Berita Harian pula melaporkan akhbar web Malaysiakini.com akan dipanggil oleh kementerian itu berhubung satu laporannya tentang pergaduhan di Jalan Kelang Lama, Selangor.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Zainal Abidin Zain dilaporkan berkata malaysiakini dan beberapa pemimpin pembangkang perlu membetulkan fakta berhubung bilangan kematian dalam kejadian itu dan "meminta maaf kepada kerajaan."

Menurut Lutfi lagi, sejak sambutan hari itu 3 Mei tahun lalu, kerajaan secara rasmi telah menutup akhbar mingguan politik Eksklusif dan majalah remaja Al-Wasilah , selain mengharamkan majalah Detik dan mengurangkan kekerapan akhbar PAS Harakah beberapa bulan sebelum itu.

"Negara ini, walaupun mendakwa mengamalkan demokrasi berparlimen, tetapi menyekat beberapa hak asasi rakyatnya sendiri, termasuk wartawan, penerbit dan pengedar," katanya, yang juga bekas ketua pengarang dua majalah yang diharamkan itu.

NUJ membisu

Dalam perkembangan berkaitan, Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ) menyifatkan hampir semua media di negara ini dimiliki atau dikawal oleh komponen parti Barisan Nasional.

"Media alternatif dikawal atau diharamkan tahun lepas. Wartawan yang mengkritik kerajaan diugut akan didakwa di mahkamah," kata pertubuhan wartawan itu yang berpangkalan di New York, dalam satu laporan khas yang dikeluarkan hari ini.

Dalam laporan Attacks on the Press in 2000 (Serangan terhadap Akhbar 2000), CPJ juga menyifatkan wartawan yang bertugas bersama media arus perdana negara ini tidak mempunyai organisasi yang berkesan untuk menyuarakan bantahan mereka bagi mendapatkan kebebasan media yang lebih luas.

"Kesatuan Wartawan Nasional (NUJ) misalnya, gagal membantah penutupan atau sekatan terhadap penerbitan alternatif pada tahun 2000," kata laporan itu lagi.

Akibat kawalan kerajaan dan gaji lumayan, wartawan media perdana mengamalkan tapisan sendiri ketika melaporkan berita, laporan CPJ itu dipetik.

Menurut Kami lagi, orang ramai melalui parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) boleh menyambut Hari Kebebasan Akhbar dengan beberapa cara seperti ceramah, forum dan dialog.

"Media bebas adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan (merupakan) asas demokrasi yang sangat penting. Oleh itu, rakyat dari segenap peringkat dan daripada pelbagai kumpulan serta sektor harus menyatakan pendirian mereka dalam hal ini (tekanan daripada kerajaan)," kata Lutfi lagi.