Polis siasat dakwaan penganiayaan seksual wanita Filipina di Tawau
Polis akan menyiasat mengenai dakwaan penganiayaan seksual ke atas wanita-wanita Filipina yang ditahan di balai polis Tawau, sebaik menerima laporan mengenai perkara itu, kata Pesuruhajaya Polis Sabah Datuk Pahlawan Ramli Yusuff.
"Kami mahu mereka buat laporan dan kita akan bertindak sewajarnya ...kami akan mengambil tindakan terhadap kakitangan kita jika mereka didapati terlibat," beliau berkata menurut satu laporan Bernama .
Setakat ini, belum ada laporan dibuat mengenainya, katanya ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar Filipina, Philippine Daily Inquirer , Isnin lalu.
Laporan itu memetik Mohsin Akbirul, yang dihantar pulang baru-baru ini, sebagai berkata bahawa tujuh anggota polis di Tawau menjadikan wanita-wanita Filipina sebagai hamba seks mereka.
Penasihat Presiden Filipina, Nur Jaafar, yang kini berada di Sabah untuk melihat keadaan pendatang tanpa izin Filipina, memberitahu pemberita di Kota Kinabalu bahawa beliau telah merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa Malaysia.
"Kami sudah memaklumkannya kepada pihak berkuasa Malaysia untuk disiasat. Mereka memberi jaminan bahawa mana-mana penguatkuasa undang-undang yang didapati melakukannya, akan diambil tindakan," katanya.
Keadaan memuaskan
Sebelum itu, delegasi tujuh orang wakil kerajaan Filipina itu yang meninjau keadaan pusat tahanan sementara pendatang tanpa izin di Sabah, dilaporkan berpuashati dengan keadaan di pusat tahanan di Tawau.
"Pusat tahanan di Tawau ini sangat baik," kata Jaafar kepada wartawan.
Jaafar, yang merupakan penasihat kepada presiden Gloria Arroyo bagi hal-ehwal Islam, berkata beliau juga menerima banyak aduan daripada rakyat Filipina yang ditahan di pusat tahanan di Tawau, yang menempatkan 60 tahanan.
Sebelum, para pegawai di Filipina mendakwa terdapat sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak meninggal dunia sewaktu gerakan penghantaran pulang kira-kira 12,000 rakyat negara itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.