Pergerakan Pemuda Keadilan menyifatkan 'pengakuan' bekas setiausaha biro penerangan pergerakan itu, Nordin Ahmad mengenai cubaan parti itu menghasut tentera untuk menyertai reformasi bagi menggulingkan kerajaan sebagai satu "kenyataan berbayar" dengan niat yang tidak baik.

Naib ketua pergerakan itu, Muhammad Zahid Md Arip, berkata Nordin telah mengakui kepada seorang temannya yang beliau telah dibayar untuk membuat kenyataan tersebut bagi menyokong agenda serangan terhadap Keadilan.

Menurutnya, isu berkenaan ditimbulkan bagi mengalih perhatian masyarakat daripada isu rasuah yang membabitkan Datuk Seri Rafidah Aziz dan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, isu bahasa Inggeris dan isu mengenai syarikat-syarikat korporat kroni Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Zahid menegaskan demikian dalam satu kenyataan media bagi mengulas kenyataan Nordin di muka hadapan akhbar Berita Harian hari ini yang menyebutnya sebagai berkata beliau telah mendengar perbincangan untuk menghasut tentera, ketika dia bersama empat bekas komando dalam sebuah kereta di Melaka pada 1999.

"Bagi Pemuda Keadilan, dakwaan-dakwaan yang dibangkitkan ini hanyalah merupakan usaha Umno memperalatkan media untuk menutup kezaliman Umno ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang banyak berjasa kepadsa tentera," katanya.

Malah katanya, pergerakan menjangka Umno akan menjadikan isu ini sebagai alasan untuk terus menahan dan menekan para pemimpin Keadilan yang mendedahkan keburukan pemimpin Umno.

Matlamat politik

"Pemuda Keadilan percaya isu ini bukanlah isu keselamatan negara tetapi lebih kepada menyelamatkan hanya politik Umno," katanya.

Zahid juga mendakwa bahawa agenda itu turut membabitkan naib presiden Umno, yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencapai matlamat politiknya.

Hari ini, Berita Harian juga menyiarkan laporan yang memetik Najib sebagai berkata kumpulan reformasi cuba menghasut seluruh institusi angkatan tentera Malaysia supaya mengguling kerajaan ketika negara menghadapi krisis politik pada 1999,

Sementara itu, seorang lagi naib ketua Pemuda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin, ketika dihubungi hari ini memberitahu pihaknya akan membuat aduan polis terhadap kenyataan Nordin itu, esok.

Menurutnya, parti itu tidak menyokong pergerakan yang tidak demokratik dan menyifatkan kenyataan Nordin itu berbau fitnah.

Oleh itu, katanya, pengakuan Nordin perlu disiasat dan sekiranya didapati tidak benar, tindakan mahkamah perlu diambil ke atas Nordin.

Laporan polis

Sementara itu, Nordin hari ini membuat laporan polis di balai polis Pandan Indah, Kuala Lumpur, kerana mendakwa menerima ugutan selepas Berita Harian menyiarkan laporan muka depan mengenai pengakuannya itu hari ini.

Nordin, yang meninggalkan parti itu sewaktu pilihanraya kecil parlimen Teluk Kemang pada 2000, membuat pengakuan itu, menyusuli pendedahan bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Abu Bakar Jamal bahawa kumpulan reformasi telah mengajaknya menyertai rancangan menggulingkan kerajaan.

Menafikan dakwaan pemuda Keadilan itu bahawa dia telah 'dibayar' untuk membuat pengakuan tersebut, Nordin sedang menimbang kemungkinan membuat aduan polis terhadap tuduhan tersebut..

Sementara itu, Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, dalam satu kenyataan hari ini, menegaskan bahawa parti itu berjuang mengikut lunas-lunas perlembagaan dan demokrasi.

"Keadilan tidak terlibat sama sekali dengan kegiatan yang bertentangan dengan perlembagaan. Keadilan melaksanakan tanggungjawabnya untuk memberi penerangan terhadap rakyat mengenai penyelewangan, rasuah dan salahguna kuasa yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan," katanya.