Kesatuan guru cadang BI untuk Sains dan Matematik mulai tahun empat
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) akan mencadangkan supaya pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dilaksanakan di sekolah bermula dari tahun empat, kata Setiausaha Agung KPPK Datuk N Siva Subramaniam.
Katanya, ini kerana pelajar seharusnya mempunyai asas yang teguh dalam bahasa ibunda mereka di peringkat awal persekolahan iaitu dari tahap satu hingga tiga.
"Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh KPPK, majoriti bersetuju supaya pengajaran bahasa Inggeris dimulakan pada tahun empat dan bukan dari tahun satu.
"Tahun satu hingga tiga pelajar perlu diterapkan dengan pengajaran asas yang kukuh dan diajar dalam bahasa ibunda...mulai tahun empat hingga enam barulah diadakan mata pelajaran Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut laporan agensi berita nasional, Bernama , Siva berkata cadangan itu merupakan antara syor yang akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan hati ke hati bersama KPPK, Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) guru-guru besar dan pengetua-pengetua sekolah tidak lama lagi.
Pertemuan itu bertujuan memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai keadaan sebenar isu tersebut selain menjelaskan pandangan daripada rakyat yang membabitkan pelajar, ibu bapa dan para guru yang merupakan golongan yang terbabit secara langsung dalam pelaksanaan isu tersebut.
Perasaan rakyat
"Perjumpaan dengan Perdana Menteri ini akan digunakan untuk membincangkan perasaan rakyat dan cadangan mereka...tapi terpulang kepada kerajaan untuk membuat keputusan di atas cadangan yang dikemukakan," katanya.
Antara cadangan lain yang akan dikemukakan KPPK dalam pertemuan itu ialah penubuhan makmal bahasa di setiap sekolah untuk memudahkan pengajaran bahasa Inggeris, radio dan televisyen pendidikan menyiarkan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, memastikan guru bahasa Inggeris mempunyai penguasaan yang baik dan mengadakan kelas tuisyen di setiap Pusat Kegiatan Guru (PKG) untuk mengatasi masalah kelemahan penguasaan bahasa tersebut di kalangan guru.
Siva berkata kajian itu juga menunjukkan bahawa cadangan kerajaan untuk memperkenalkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sememangnya diterima ramai, cuma kebanyakan masih was-was mengenai cara pelaksanaannya.
Maklum balas positif diterima terutama daripada para pelajar sendiri yang bersemangat untuk meneruskan cadangan tersebut selain ibu-bapa diikuti guru, katanya.
Sementara itu, wakil daripada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu juga akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri mengenai hasrat mereka supaya dikekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar dalam pendidikan.
Jurucakap Kongres, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, berkata selain menghantar memorandum, mereka juga akan membincangkan cadangan untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar tanpa menggunakannya dalam matapelajaran Sains dan Matematik.
Antara perkara penting dalam memorandum itu ialah menyokong usaha kerajaan mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar iaitu dengan memberi peruntukan istimewa untuk menggunakan peralatan yang baik dan melatih guru-guru.
Strategi bahasa
"Tetapi bahasa penghantarnya tetap Bahasa Melayu supaya pelajar kita boleh kuasai dua bahasa. Jika kita lihat sekarang seorang pelajar telah mempelajari bahasa Inggeris selama 12 tahun tetapi penguasaan bahasa Inggeris masih lemah, jadi kita kena betulkan sistem pendidikan," katanya
Beliau memberita pemberita demikian selepas perasmian Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Keenam yang dilakukan oleh Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, di Tanjung Malam, Perak hari ini.
Selain memberi peruntukan istimewa, katanya, kelas bahasa Inggeris juga sepatutnya dipanjangkan dengan strategi menguasai Bahasa Inggeris yang baik perlu ditekankan.
Kongres itu yang terdiri daripada Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Persatuan Penterjemahan Malaysia (PPM), Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum ini pernah mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 24 Ogos lalu mengenai perkara ini.
Walaupun cadangan mereka supaya Sains dan Matematik dikekalkan pengajarannya dalam bahasa Malaysia, terminologinya perlu menggunakan bahasa Inggeris.
"Terminologi perlu dikekalkan dalam bahasa Inggeris kerana ia akan memudahkan para pelajar dilatih dalam Sains. Kami tiada masalah untuk menerima terminologi bahasa Inggeris kerana ia dapat membantu pelajar menguasai Sains dengan mudah.
Alasan kukuh
"Tetapi, tidak sepatutnya kerana hendak mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, Sains dan Matematik menjadi mangsa. Jika ia dilaksanakan juga, yang paling teruk memberi kesan ialah para pelajar Melayu di luar bandar. Masyarakat bandar penguasaan mereka dalam Bahasa Inggeris memang baik," kata Dr Abdul Latif yang juga merupakan Ketua II Gapena.
Beliau berkata wakil-wakil yang akan berjumpa dengan Perdana Menteri akan terdiri daripada pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang mahu Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa ilmu, komunikasidan perpaduan rakyat.
Sementara itu, Muhd Taib berkata, pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan penggunaan Bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik perlu memberi alasan-alasan kukuh di samping cadangan lain untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris.
Beliau yang juga naib presiden berkata, jika dilihat kerajaan sebenarnya belum lagi menetapkan tarikh sebenar untuk melaksanakan perkara itu walaupun pada dasarnya mereka mahu melaksanakannya mulai tahun depan.
"Kerajaan masih mahu mendengar pandangan orang ramai kerana itu tiada keputusan muktamad bila ia akan dilaksanakan. Kerajaan dan perdana menteri sendiri sememangnya sedia berbincang dan mendengar pandangan orang ramai," katanya.
Oleh itu pihak yang mahu mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan perdana menteri perlu ikhlas dalam melahirkan pandangan mereka demi kebaikan generasi masa depan dengan segala permasalah perlu dinyatakan tanpa mengutamakan kepentingan peribadi atau politik.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.