Karpal: Jadikan 14 April cuti umum
Pengerusi DAP, Karpal Singh mahu kerajaan mengisytiharkan hari Vaisakhi dan Tahun Baru yang disambut oleh masyarakat Sikh dan penganut Hindu pada 14 April setiap tahun sebagai cuti umum.
Menurut beliau, selaras dengan slogan 1Malaysia yang dicanangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, maka adalah wajar kerajaan mengumumkan tarikh berkenaan sebagai hari perlepasan awam.
“Pelbagai desakan telah dibuat supaya 14 April dijadikan hari cuti untuk masyarakat Sikh dan penganut agama Hindu tetapi sehingga hari ini tiada respon yang positif daripada kerajaan.,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Karpal berkata jika kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional tidak mahu menghormati hari kebesaran itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor yang diterajui Pakatan untuk berbuat demikian.
“Pulau Pinang adalah negeri pertama yang memberikan RM100 sebagai penghargaan kepada warga emasnya. Moto kerajaan negeri ialah ‘Pulau Pinang Mendahului’. Sudah tiba masanya bagi Pulau Pinang sekali lagi mendahului,” katanya.
Karpal berkata beliau berharap permintaan supaya 14 April dijadikan hari cuti awam oleh masyarakat Sikh dan penganut Hindu di negara ini akan mendapat pertimbangan sewajarnya oleh Najib.

