Bukit Aman tubuh pasukan khas siasat dakwaan rogol gadis Filipina
Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menyiasat dakwaan seorang budak perempuan Filipina berumur 13 tahun dirogol di sebuah pusat tahanan sementara di Sabah.
Ketua Pengarahnya, Datuk Salleh Mat Som, berkata pasukan siasatan khas itu akan diketuai Ketua Penolong Pengarah CID (Siasatan Khas) ACP Takbir Ahmad Nazir.
"Kita memberi perhatian serius (kepada) perjalanan siasatan ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan Konsul-General Kedutaan Filipina ke Malaysia, Luiz T.Cruz di Ibu pejabat polis Bukit Aman, hari ini.
Agensi berita nasional, Bernama , memetik Salleh sebagai berkata, pegawai penyiasat bagi pasukan khas itu adalah DSP Yahya Ramli dan dibantu oleh pegawai-pegawai dari Bahagian Perundangan dan Jenayah Seksual Bukit Aman.
Salleh berkata, pasukan siasatan khas itu akan menjalankan siasatan yang mendalam mengenai dakwaan kejadian rogol itu bagi menentukan sama ada ia mempunyai sebarang kebenaran.
"Kita memberi tumpuan kepada laporan pasukan itu. Kita perlu sahkan sama ada ia (dakwaan rogol itu) betul atau tidak," katanya dan menambah kata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa di bawah umur.
Rekod kenyataan
Beliau berkata, pihak polis juga mengharapkan kerjasama dari kerajaan Filipina terutamanya dalam mengesan mangsa yang didakwa dirogol itu dan mengenalpasti mereka yang terlibat dalam kejadian itu.
Pasukan Sisatan Khas Bukit Aman itu katanya, perlu mendapatkan kerjasama terutamanya sama ada mereka perlu ke Filipina untuk merekod kenyataan budak perempuan itu atau polis republik itu menghantar mangsa ke sini.
Salleh berkata, mengikut maklumat budak perempuan itu kini berada di Zamboanga City.
Ditanya bila jangkaan siasatan itu akan disiapkan, beliau berkata, pihak polis berharap ia akan siap secepat mungkin sepertimana diharapkan oleh kerajaan Filipina.
"Kita harap siasatan ini akan selesai dengan cepat dan yakin pihak Filipina juga mahu itu (selesai dengan cepat)," katanya.
Bantu siasatan
Dua hari lepas, Presiden Filipina Gloria l Arroyo-Macapagal menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menyatakan kekesalannya tentang dakwaan penderaan seksual oleh anggota keselamatan Malaysia terhadap seorang budak perempuan Filipina di pusat tahanan sementara di Kota Kinabalu.
Semalam Dr Mahathir berkata, Malaysia akan menyiasat dakwaan itu dan mengheret mereka yang melakukan jenayah itu ke muka pengadilan.
Sementara itu, Takbir ketika ditemui oleh pemberita selepas itu berkata, pasukan siasatan khas itu ditubuhkan bagi menjalankan siasatan kejadian rogol yang didakwa membabitkan anggota polis Sabah itu, secara adil dan bebas.
Takbir berkata, pasukan siasatan khas itu berharap dapat membawa budak perempuan yang membuat dakwaan itu ke Malaysia bagi membantu siasatan.
Polis Sabah juga telah menubuhkan satu pasukan khas menyiasat dakwaan berkenaan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.