Mahkamah putuskan penahanan lima pemimpin reformasi tidak sah
Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa penahanan lima pemimpin reformasi selama 60 hari pertama di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah menyalahi undang-undang.
Tahanan terbabit ialah naib presiden Keadilan Tian Chua, ketua Pemuda Keadilan Mohd Ezam Mohd Nor, pemimpin Keadilan Saari Sungib, kolumnis dan pengarah filem Hishamuddin Rais dan Raja Petra Kamaruddin dari FreeAnwar.com.
Mereka ditahan di bawah ISA April tahun lalu kerana dituduh merancang untuk mengguling kerajaan. Bagaimanapun, Raja Petra telahpun dibebaskan sebelum ini.
Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa penahanan lima pemimpin reformasi selama 60 hari pertama di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah menyalahi undang-undang.
Tahanan terbabit ialah naib presiden Keadilan Tian Chua, ketua Pemuda Keadilan Mohd Ezam Mohd Nor, pemimpin Keadilan Saari Sungib, kolumnis dan pengarah filem Hishamuddin Rais dan Raja Petra Kamaruddin dari FreeAnwar.com.
Mereka ditahan di bawah ISA April tahun lalu kerana dituduh merancang untuk mengguling kerajaan. Bagaimanapun, Raja Petra telahpun dibebaskan sebelum ini.
Ezam pula sedang menjalani hukuman dua tahun penjara di Kajang selepas mahkamah mendapatinya bersalah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA), manakala yang lain masih ditahan di kem tahanan Kemunting.
Keputusan tersebut dibuat sebulat suara oleh penal empat orang hakim, yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah. Yang lainnya ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim, hakim Datuk Siti Norma Yaakob dan hakim Datuk Abdul Malek Ahmad.
Bagaimanapun, 20 minit kemudiannya, mahkamah yang sama memutuskan bahawa keputusan itu tidak menjejaskan arahan penahanan dua tahun di bawah ISA yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selepas tamatnya tempoh tahanan bagi 60 hari pertama itu.
Permohonan baru
Oleh itu, kata Dzaiddin kini terpulang kepada tahanan terbabit sama ada akan mengemukakan permohonan baru habeas corpus untuk mencabar arahanan menteri itu yang dibuat mengikut Seksyen 8 (1) akta ISA.
Manakala salah seorang peguam yang mewakili para tahanan ISA itu, R Sivarasa memberitahu pemberita kemudiannya yang mereka masih meneliti perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.
Permohonan habeas corpus merupakan permohonan untuk mengemukakan tahanan di mahkamah bagi memutuskan sama ada tahanan mereka adalah mengikut undang-undang.
Tahanan selama 60 hari pertama dibuat mengikut Seksyen 73 akta ISA yang memberi kuasa kepada polis untuk menangkap orang yang disyaki terbabit dalam aktiviti yang boleh membahayakan keselamatan negara.
Selepas tempoh 60 hari itu, pihak polis akan membuat perakuan kepada menteri dalam negeri, yang diberi kuasa di bawah Seksyen 8(1) akta yang sama, untuk mengarahkan penahanan orang yang disyaki itu untuk tempoh selama dua tahun.
Sebelum itu, Peguam Kanan Persekutuan Azahar Mohamed berhujah, penghakiman mahkamah pada hari ini adalah mengenai kes penahanan polis mengikut Seksyen 73 akta ISA, dan tiada kaitan dengan arahan menteri mengikut seksyen 8 akta berkenaan.
Arahan penahanan
Katanya, mahkamah tidak boleh membuat keputusan mengenai perkara yang tidak dikemukakan di mahkamah, dan berpendapat ianya memerlukan permohonan baru habeas corpus.
Menurut Azhar lagi, adalah tidak adil untuk mencabar arahan penahanan yang dibuat oleh menteri, tanpa terlebih dahulu memanggilnya untuk membela diri.
Bagaimanapun, peguam Christopher Leong pula berkata tahanan terbabit mesti dibebaskan kerana arahan menteri tersebut dibuat berdasarkan kepada penyiasatan yang dibuat sewaktu mereka ditahan dalam tempoh 60 hari pertama itu.
Katanya, oleh kerana tempoh tahanan 60 hari itu dianggap tidak mengikut undang-undang, maka arahan berikutnya oleh menteri terbabit untuk menahan mereka selama dua tahun di bawah ISA adalah tidak sah.'
Penal hakim terbabit mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membuat keputusan muktamad mengenainya.
Sementara itu, pengerusi DAP Lim Kit Siang, presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) Syed Husin Ali dan presiden Keadilan Dr Wan Azizah Ismail, turut hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.