Kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS tidak sepatutnya lepas tangan dalam menyediakan bekalan air paip kepada rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata kesukaran mendapatkan bekalan air paip bukan sahaja dihadapi oleh penduduk yang tinggal di kawasan tinggi malah mereka yang tinggal di kawasan rendah.

awang adek hussin "Mereka yang telah mendapat bekalan air paip dari Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sentiasa terputus bekalan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Tawang di Bachok, hari ini.

Dr Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata mereka yang gagal mendapatkan bekalan air paip terpaksa menggali perigi dan menggunakan air sungai yang tercemar.

Pusat Pemulihan Orang Cacat di Telong di daerah Bachok telah merayu kepada beliau bagi bekalan air paip semasa beliau melawat pusat itu baru-baru ini, kata Ketua Umno bahagian Bachok itu.

- Bernama