'Amaran' MB: BN menang, tarif air S'gor naik

       

Penduduk Kampung Gurney, Ulu Yam Bharu menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim malam ini di satu majlis makan malam anjuran Pakatan Rakyat.

Memorandum berkenaan bertujuan menggesa Khalid mempercepatkan permohonan daripada 26 orang penduduk kampung itu bagi mendapat lesen menduduki sementara (TOL) bagi satu kawasan tanah.

hulu selangor by-election 100410 kampung gurney headman lai swu chong Mereka telah menggunakan kawasan itu bagi tujuan pertanian sejak lebih 15 tahun lalu, kata ketua kampungnya Lai Swu Chong.

Lai menyerahkan sendiri memorandum tersebut sebaik sahaja Khalid selesai memberikan ucapannya di majlis tersebut yang diadakan di sebuah restoran Cina di pekan itu.

Terdahulu, Khalid dalam ucapannya berkata beliau datang ke situ untuk mendengar apa saja aduan daripada penduduk.

Beliau juga menyentuh tentang pencapaian kerajaan Selangor dalam tempoh lebih dua tahun lalu.

"Dalam dua tahun, kita buat banyak berbanding apa yang (BN) 50 tahun lalu belum buat lagi," katanya yang cuba bertutur dengar telor Cina.

Beliau menggariskan pemberian air sebanyak 20 meter padu percuma dan juga pemberian wang sebanyak RM2,500 kepada keluarga bagi setiap warga Selangor yang meninggal dunia.

Beliau bagaimanapun memberi 'amaran', tarif air akan naik sekiranya BN menang dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 25 April ini.

Jelasnya, kerajaan negeri akan gagal mendapatkan kawalan ke atas syarikat Syabas dan Puncak Niaga, pemegang konsesi air di negeri itu.

hulu selangor by-election 100410 pakatan dinner for chinese in ulu yam baru "Tapi paling penting, Tan Sri Rozali (Ismail) ialah bendahari Umno di Selangor.

"Kalau kita bagi (BN) menang, dia akan ambil syarikat itu, harga (air) akan lebih mahal.

"Ini (rakyat) punya, bukan satu atau dua orang yang punya," katanya.

Khalid selepas itu memberi jaminan untuk membantu penduduk berkenaan mendapatkan lesen menduduki sementara itu.

"Tapi ini tidak boleh dibuat dalam masa dua minggu saja," katanya.

Kira-kira 450 orang penduduk menghadiri majlis tersebut pada malam ini disertai beberapa pemimpin termasuk Datuk Seri Chua Jui Meng, serta dua ADUN Pakatan - Gan Pei Nei dan Lee Kim Sin.

Malaysiakini
terkini untuk anda