BA: Serangan AS, Britain ke atas Iraq tindakan biadap
Barisan Alternatif (BA) mengecam keras tindakan Amerika Syarikat dan sekutunya Britain yang menyerang Iraq sambil menyifatkannya sebagai satu tindakan biadab yang membelakangkan masyarakat antarabangsa.
Dalam satu kenyataan hari ini, BA melahirkan rasa kesalnya dengan keangkuhan kedua-dua negara itu dan tidak menghormati negara-negara Arab yang lain.
"Apapun alasan yang diberi, ruang perundingan dan jalan penyelesaian secara aman harus terus dilakukan oleh semua pihak, terutamanya badan dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Pemangku Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Syed Husin Ali.
Menurutnya, tuduhan bahawa Iraq sedang membina senjata nuklearnya hanya merupakan sekadar alasan rapuh sebagai justifikasi kepada mereka sedangkan pasukan penyiasat PBB sendiri hingga kini gagal mengesahkan dakwaan tersebut.
"Keganasan yang dilabelkan ke atas Iraq tidak seharusnya dibalas dengan keganasan sebab ia hanya akan menimbulkan ketidakstabilan dunia dan menggugat keharmonian sejagat.
"Alasan menentang keganasan tidak boleh disandarkan untuk memerangi negara lain yang berdaulat. Tindakan melancarkan perang itu sendiri merupakan suatu keganasan besar," tegasnya.
Serangan ganas
BA turut mengkritik penindasan dan pembunuhan manusia yang tidak berdosa hanya disebabkan kebencian terhadap Presiden Iraq Saddam Hussein, tetapi rakyat jelata negara itu terpaksa dikorbankan.
Sementara itu, badan bukan kerajaan (NGO) Aliran juga mengutuk serangan AS dan Britain ke atas Iraq dan menyifatkan tindakan itu boleh menyebabkan timbulnya reaksi berantai.
Dalam kenyataannya, Aliran berkata, beberapa kumpulan di Iraq dan negara-negara Arab lain yang berhampiran, mungkin ingin membalas serangan itu dan ia akan menyebabkan peperangan itu bertambah teruk.
Sementara itu, sebuah lagi NGO, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyeru kerajaan Malaysia supaya mendesak PBB mengadakan segera persidangan Majlis Keselamatannya untuk membincangkan perkara tersebut.
Teras yang merupakan sebuah badan amanah yang menjalankan penyelidikan, pendidikan, penerbitan, latihan dan pengemblengan orang Melayu, juga mahu PBB menggunakan kuasanya untuk menghentikan segala keganasan dan serangan selanjut AS dan Britain ke atas Iraq.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.