Kenyataan Ketua Pemuda Umno Hishammuddin Hussein tentang pengaruh pembangkang di universiti memang ada kebenarannya.

Beberapa tahun kebelakangan, wujud ombak rasa tidak berpuas hati terhadap beberapa perkara yang membabitkan pengajian pelajar dan ia telah membuka ruang menanam perasaan membenci kerajaan.

Membaca tulisan NM Omar ([#1] Kebangkitan pelajar antikerajaan: Satu kupasan [/#], 15 Mac) yang berpura-pura mengupas kebangkitan pelajar antikerajaan beberapa hari lalu, melonjak hati saya untuk memberikan pandangan jujur tentang isu tersebut.

Isu kelewatan pembayaran biasiswa, kontroversi pinjaman dan pembayaran balik pinjaman serta kekeliruan penawaran kursus telah digembar-gemburkan oleh agen-agen parti pembangkang di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menanam semangat membenci kerajaan di kalangan pelajar.

Selepas itu, pelbagai program diatur oleh pihak-pihak yang mempunyai talian kukuh dengan parti-parti politik (pembangkang) untuk mempengaruhi dengan lebih mendalam minda pelajar IPT.

Tidak dapat dinafikan, sikap kerajaan juga - sejak dari dulu lagi - yang alpa untuk memberikan perhatian kepada perkembangan politik kampus dan kesan pengaruh negatif dari luar kampus membuka laluan mudah kepada sesiapa sahaja untuk mempengaruhi pelajar.

Kesilapan inilah yang membolehkan gerakan reformasi bertapak dengan lebih kukuh selepas (bekas) timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim disingkirkan. Gerakan pro-Anwar yang didukungi oleh penyokongnya sebenarnya telah lama bertapak di kampus-kampus. Anwar yang diakui sendiri oleh NM Omar sebagai bekas aktivis pelajar sedar peri pentingnya mendapat sokongan pelajar IPT.

Oleh itu Anwar melalui beberapa forum, termasuk Kelab Umno UK & Eire sendiri dan Abim), mendekati pelajar dan menampilkan dirinya sebagai hero kerajaan, Umno, orang Melayu, rakyat dan orang muda. Kini setelah nama Umno tidak dapat digunakan lagi, reformasi menjadi laungan mereka.

Parti-parti pembangkang terutamanya PAS sejak dulu lagi berjaya bertapak di IPT. Semasa kejohanan kriket beberapa tahun lalu, yang turut menjemput pasukan kriket Israel, pelajar-pelajar Islam Universiti Malaya yang telah dipengaruhi idealisme parti Islam itu dengan mudah digunakan oleh pembangkang itu untuk menyebarkan mesej anti-Yahudi.

Anwar bukan isu di kampus

Laungan bak penentangan penduduk Palestin itu yang seperti ingin menghidu darah Yahudi amat menggerunkan pada ketika itu. Berlaku pula pertentangan dengan pihak berkuasa (polis) yang mengaibkan imej IPT kita. Pihak berkuasa dituduh mencabuli hak rakyat dan bertindak kejam bak Zionis.

Lebih menyedihkan lagi, kerajaan pula dituduh pro-Israel dan anti-Islam; sedangkan kita semua tahu kerajaan Malaysia yang paling lantang memperjuangkan nasib Palestin. Bukankah kerajaan Malaysia juga dituduh media asing sebagai penyokong utama gerakan pejuang Islam (Abu Sayyaf) di selatan Filipina?

Kesimpulan NM Omar bahawa pelajar bangkit kerana ketidakadilan dan penindasan terhadap Anwar sebenarnya satu pandangan cetek dan hanya propaganda pro-Anwar. Sebenarnya Anwar bukanlah isu utama yang dibincangkan di IPT.

Pengaruh PAS lebih kuat daripada gerakan reformasi di IPT. Kebanyakan pelajar sebenarnya tidak aktif dalam politik kampus. Peratusan rendah pengundian setiap kali pilihanraya kampus adalah bukti utama pelajar sebenarnya tidak begitu berminat dengan kuasa politik, terutama di kampus.

Permasalahan sebenar ialah hala tuju kepimpinan pelajar yang cuba dipengaruhi parti-parti politik di Malaysia. Persatuan dan kepimpinan pelajar merupakan pentas yang dapat membuka ruang kepada sebarang pihak untuk berinteraksi, berpropaganda dan seterusnya mempengaruhi pelajar. Jika tidak dibendung, maka barisan kepimpinan pelajar akan terus didampingi oleh parti-parti pembangkang untuk menampilkan isu mereka.

Apabila berlaku pertentangan, sudah pasti pihak yang menang pembangkang. Pihak yang tewas bukan sahaja kerajaan, malah pelajar-pelajar yang terjerat itu sendiri. Pembangkang hanya akan bersorak tentang hak, keadilan dan sebagainya, tetapi mereka yang tersungkur dan tertangkap adalah pelajar yang hanya 'pak turut.'

NM Omar cuba mengalih perhatian pembaca kononnya pemimpin kerajaan hanyalah 'burung belatuk' yang cuba mengiyakan kata-kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Sebenarnya amaran Hishammuddin itu ada kebenarannya.

Tanpa hasutan serta propaganda pembangkang yang giat di kampus-kampus, pelajar tidak mungkin mendapat maklumat yang silap mengenai keadaan sebenar negara. Risalah antikerajaan, cerita salah laku penjawat awam dan ahli politik kerajaan serta simpati kepada Anwar mendorong pelajar membina tanggapan bahawa kerajaan kini bertindak tidak adil atau zalim.

Apalah salahnya jika Pemuda Umno atau pertubuhan lain diberikan peluang mengutarakan cerita sebenar tentang apa yang berlaku di luar kampus? Apakah NM Omar bimbang jika pelajar didedahkan cerita sebenar, gerakan reformasi akan patah sayapnya? Jika reformasi memang benar untuk menegakkan keadilan, maka ia harus keluar daripada belenggu dan telunjuk Anwar.

Lawan kerajaan budaya semasa

Kes Anwar bukanlah satu kes penganiayaan ke atas seseorang insan. Anwar sendiri pernah menganiaya orang lain, terutama ketika Tun Mohamad Salleh Abas disingkirkan sebagai Ketua Hakim Negara dan ketika Anwar merebut jawatan Timbalan Presiden Umno daripada Ghafar Baba.

Anwar jugalah yang menghantar pembawa propaganda antikerajaan ke luar negara untuk meraih simpati kerajaan asing kepada gerakan reformasi dan menjatuhkan kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat sendiri.

Memang terdapat segelintir pemimpin, terutama Melayu, yang memainkan paluan politik cantas-mencantas. Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pula bukanlah sebuah pertubuhan rasmi bawah Umno, walau mungkin ada antara ahlinya yang menyertai parti itu. Pemimpin seperti inilah yang wajar dipinggirkan oleh semua pihak untuk membentuk suasana politik yang lebih sihat di negara ini.

Saya bersetuju bahawa budaya antikerajaan di kampus kini hanyalah aliran politik semasa. Ia akan berubah mengikut arus politik tanahair dan bukanlah budaya yang telah lama bertapak. Dulu kita dipupuk supaya takut dan sangsi kepada kaum lain dan bangsa asing. Kemudian kita dipengaruhi untuk lebih lantang. Kini kita dipaksa menerima seorang banduan sebagai idola dan harapan masa depan kita.

Akta Universiti dan Kolej Universiti bukanlah penghalang kebebasan bersuara pelajar seperti cuba dipura-purakan oleh NM Omar. Pelajar mempunyai banyak ruang, baik dalam sistem pembelajaran dan kampus serta cara-cara lain yang lebih berkesan dan telus, untuk menyuarakan pendapat.

Penubuhan Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) memberi jalan terus kepada pelajar agar berhubung dengan pemimpin tertinggi negara. Apa yang perlu hanyalah sikap tanggungjawab terhadap ruang yang diberikan agar tidak disalahgunakan untuk tujuan lain.

NM Omar hanya melihat ulasan Hishammuddin daripada sudut reformasi dan antikerajaan. Sepatutnya penulis itu wajar melihat ulasan tersebut dari segi betapa mudahnya pelajar-pelajar dipengaruhi anasir-anasir luar.

Lebih wajar jika NM Omar memikirkan cara terbaik bagaimana membina minda dan memupuk keterbukaan pendapat di kalangan pelajar, untuk membentuk masyarakat madani pelajar yang berpengetahuan. Pelajar yang dapat membezakan kebaikan dengan keburukan, sambil membuat keputusan rasional dan memilih jalan untuk mencari penyelesaian terbaik.


NOOR AZMAN SULAIMAN pernah belajar di kampus tempatan dan luar negara sepanjang 1988-1994