SPRM berharap Pornthip beri keterangan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melahirkan harapannya agar pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, akan tampil memberi keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock apabila ia bersambung pada 20 April ini.
Dalam kenyataan media hari ini, SPRM berkata kehadiran Pornthip pada tarikh yang ditetapkan itu penting bagi membolehkan kes berkenaan diselesaikan dengan segera untuk memberi keadilan kepada semua pihak termasuk keluarga Teoh Beng Hock dan juga SPRM.
“Dr Pornthip tidak perlu risau tentang keselamatan beliau kerana kerajaan Malaysia termasuk Kementerian Dalam Negeri, Peguam Negara dan Polis Di Raja Malaysia telah memberi jaminan ke atas keselamatan sepanjang kehadiran beliau di perbicaraan tersebut,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat, SPRM.
Ahad lalu, Pornthip memberitahu Malaysiakini bahawa beliau telah "dinasihatkan" oleh pegawai-pegawai tinggi Jabatan Kehakiman Thailand - tempat beliau bertugas sebagai ketua pengarah Institut Sains Forensik Pusat - supaya jangan ke Malaysia minggu depan untuk menghadiri inkues tersebut.
Beliau
berkata, kementerian kehakiman telah menerima maklumat daripada kementerian luar Thailand bahawa beliau mungkin menghadapi masalah jika ke Malaysia, termasuk kemungkinan dihalang memasuki negara ini.
Menurutnya, kementerian luar Thailand telah menarima "isyarat" dari kerajaan Malaysia melalui "saluran tidak rasmi" bahawa kehadiran beliau dalam inkues tersebut, adalah tidak disenangi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam memberi jaminan keselamatan kepada Pornthip jika pakar patologi Thailand itu kembali ke negara ini bagi memberi keterangan.
Beliau juga meminta Pornthip membekalkan pihak berkuasa segala maklumat berhubung dakwaannya bahawa dia berdepan dengan 'tekanan politik' supaya tindakan boleh diambil.
Jaminan yang sama diberikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang semalam berkata tidak ada sebab bagi pakar patologi Thailand itu risau mengenai keselamatannya.
Menurut beliau kedatangan Pornthip adalah dialu-alukan dan pihaknya mahu mahu dia ke mari dan memberi keterangan dengan aman dan tenang.
Gani juga berkata pejabatnya akan memastikan pihak berkuasa membekalkan kawalan keselamatan untuk pakar dari Thailand itu.

