Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, pihaknya tidak pernah melarang proses pengauditan terhadap tanah yang dianugerahkan kerajaan negeri kepada yayasan tersebut.

“Kita tidak halang. Mereka minta hendak audit tanah yang diberikan pada kita, kita beri alamat, kita beri nama pengetua yang bertanggungjawab di asrama kita (di tempat berkenaan).

“Mereka pergi jumpa, mereka ambil gambar,” kata Zainal Abidin kepada Malaysiakini hari ini.

Zainal Abidin yang juga bekas ADUN Batang kali diminta mengulas tindakan kerajaan negeri mengedarkan kertas putih mengenai YBK kepada DUN Selangor, hasil laporan Jabatan Audit Selangor.

Membacakan l aporan eksekutifnya semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim antaranya mendakwa, siasatan audit negeri “dihalang memasuki premis YBK walaupun yayasan terebut memberitahu media tidak akan menghalang usaha pengauditan".

Zainal Abidin berkata pihaknya mengesyaki terdapat “dendam kesumat”  kerajaan negeri yang “cuba menggambarkan tiada langsung kebaikan YBK daripada kepala sampai ke kaki”.

Beliau bagaimanapun menerima baik laporan daripada Jabatan Audit Negeri Selangor – sebuah agensi bawah kerajaan persekutuan – yang  disifatkannya menjalankan tugas secara “profesional”.

“Tentang dakwaan-dakwaan kita berhutang lebih RM100 juta itu, kita perlukan penjelasan yang mudah faham. Sekarang sedang dibahaskan dalam Dewan (Undangan Negeri).

“Kita biar dulu, nanti ada lagi pula. Kemudian baru kita jawab,” tambahnya.

Menjangkakan isu YBK akan dijadikan modal pilihan raya Hulu Selangor pada 25 April ini, ketua biro Umno Selangor itu berkata, pihaknya sedang menyiapkan “penjelasan yang bertanggungjawab” bagi menjawab tuduhan tersebut.

“Kita bukan hendak mengata, tetapi mahu rakyat tahu perkara yang sebenar. Ia lebih kepada memberikan ilmu,” katanya yang mahu mengeluarkan risalah khas berhubung isu tersebut.