Laman web 'hilang': Tripod.com mohon maaf
Syarikat penyedia tapak web Tripod.com meminta maaf kerana membuang laman-laman web proreformasi dan pembangkang negara ini tanpa disengajakan sejak Sabtu lalu.
"Kami meminta maaf kerana membuang laman web anda hujung minggu lalu," kata syarikat itu melalui satu mesej emel kepada pengendali-pengendali laman web Malaysia hari ini, satu salinannya diperolehi malaysiakini .
"Kerana masalah teknikal, kami secara tidak sengaja telah membuang beberapa tapak web yang berdaftar dengan kami dan kini sedang mengembalikannya semula."
Menurut mesej itu lagi, Tripod.com tidak memilih untuk membuang sesuatu laman web dengan sengaja.
"Harap anda menerima maaf kami, laman web anda kini dipulihkan," kata kumpulan teknikal syarikat itu yang berpangkalan di Massachusetts, Amerika Syarikat.
Sejak jam 4 pagi tadi, beberapa laman web proreformasi yang popular telah berjaya dilayari oleh pengguna. Menjelang tengahari tadi, laman-laman Mahafiraun , Komentar , Pemantau , Tranung Kite dan Minda Rakyat satu demi satu dipulihkan kembali.
Seorang pengendali web memberitahu malaysiakini hari ini, Tripod.com memang dalam usaha membuang beberapa tapak web yang melanggar syarat perkhidmatan syarikat itu.
Menurutnya lagi, beberapa laman yang dibuang secara tidak sengaja akan dipulihkan dalam masa 48 jam mulai hari ini.
"Syarikat itu juga mengalami beberapa masalah teknikal," kata pengendali itu, yang tidak mahu dikenali.
Menjelang tengah malam tadi, malaysiakini melaporkan lebih 20 laman web reformasi dan pembangkang negara ini dibuang sejak beberapa hari lalu tanpa sebarang notis atau penjelasan daripada Tripod.com.
Antara laman-laman web yang terbabit, selain yang berjaya dipulihkan, termasuklah Harakah Daily (laman sokongan), Detik Daily (milik Penerbitan Pemuda), PAS Kelantan, Pemuda PAS negeri itu, Pemuda Keadilan dan PAS Parit Buntar (Perak).
Bimbang ada hubungan dengan Mahathir
Perkembangan ini menyebabkan banyak pihak, termasuk parti-parti pembangkang, bimbang usaha ini ada kaitan dengan langkah kerajaan mengawal media yang suka mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Parti Rakyat Malaysia melahirkan rasa bimbang terhadap perkembangan ini dan sikap membisu Tripod.com.
"Jika Tripod.com terus berdiam diri, ia hanya menambahkan kecurigaan ramai rakyat Malaysia bahawa syarikat itu mungkin telah bekerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk melemahkan perjuangan rakyat bagi menegakkan keadilan, demokrasi dan reformasi di negara ini," kata Presiden PRM Dr Syed Husin Ali dalam satu kenyataan hari ini.
Seorang aktivis Pemuda Parti Keadilan Nasional, Lokman Noor Adam, dalam surat ketiganya kepada Tripod.com semalam menggesa syarikat itu memulihkan segera masalah tersebut.
"Tanpa mereka (laman-laman web), tidak kurang daripada 250,000 rakyat Malaysia hilang sumber maklumat dan berita penting," katanya lagi.
Bagaimanapun Penolong Setiausaha Pemuda Umno, Zulkifli Alwi, "memuji" langkah Tripod.com membuang laman-laman web tersebut.
"Tindakan (itu) perlu dicontohi pengendali hos laman web yang lain," katanya kepada agensi berita Bernama semalam.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.