Isu saham Maika Holdings Bhd, yang menyelubungi MIC sejak lebih dua dekad lepas, akan selesai tidak lama lagi.

    

Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu hari ini berkata isu itu akan selesai buat selama-lamanya sebaik saja "wang dibayar kepada pemegang sahamnya".

"Perjalanan yang dilalui selama ini sungguh perit serta penuh berliku dan kini isu itu nampaknya sedang menuju penyelesaiannya. Saya rasa para pemegang saham akan berasa lega dan gembira. Saya telah diberi taklimat tentang pembeliannya," katanya kepada Bernama.

    

Dalam laporannya semalam, Bernama memetik sumber sebagai berkata penantian sejak sekian lama oleh kira-kira 66,000 pemegang saham Maika akan berakhir tidak lama lagi apabila satu kumpulan sektor swasta India tempatan bersetuju membeli semua pelaburan mereka pada harga RM106 juta.

Cadangan nilai pembelian saham berkenaan ialah RM20 juta lebih tinggi daripada jumlah nilai bersih aset Maika, yang dianggarkan berjumlah sekitar RM85 juta sekarang.

    

Sebahagian besar pemegang saham Maika terdiri daripada pekerja ladang miskin berketurunan India yang telah menggadaikan barang kemas dan mengeluarkan wang tabungan masing-masing bagi membeli saham berkenaan pada 1984.

    

Maika Holdings ditubuhkan pada 1982 bagi memberi peluang kepada warga Malaysia berketurunan India untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara ini. Bagaimanapun, syarikat itu gagal mencapai hasil yang diharapkan dan ini amat mengecewakan pemegang sahamnya.

    

Isu saham Maika mencetuskan masalah bagi MIC serta masyarakat India Malaysia dan telah beberapa kali dibawa kepada perhatian kerajaan.

    

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan kerajaan kerana membantu menyelesaikan isu ini," kata Samy Vellu.

Semalam, sumber memberitahu Bernama bahawa kerajaan sedar tentang perkara itu dan berusaha bagi menyelesaikannya melalui pelbagai cara, termasuk pembentukan sebuah Jawatankuasa Kabinet dan Pasukan Petugas Pelaksanaan Khas bagi membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat India di negara ini.

-