Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan hari ini bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

Ini merupakan kali pertama beliau mengumum demikian selepas mengejut perhimpunan agung Umno Jun lalu apabila menyatakan bahawa beliau mahu melepaskan jawatanya dalam kerajaan dan parti.

Bagaimanapun, atas pujukan dan rayuan para pemimpin tertinggi Umno, Dr Mahathir bersetuju terus memegang jawatannya dalam parti dan kerajaan sehingga Oktober depan, selepas berlangsungnya mesyuarat Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pertubuhan Negara-negara berkecuali (NAM).

Dr Mahathir menjadi ahli Parlimen kawasan Kubang Pasu di Kedah sejak 1974 sehingga sekarang. Beliau yang telah 21 tahun memegang teraju pemerintahan, telahpun menamakan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai penggantinya selepas beliau melepaskan jawatan Oktober tahun depan.

Bernama melaporkan Dr Mahathir membuat pengumuman tidak akan bertanding itu sewaktu menghadiri majlis himpunan mesra rakyat bersama perdana menteri di Kolej Sultan Abdul Hamid, di Alor Star hari ini. Dr Mahathir adalah bekas murid sekolah itu.

Di majlis yang sama, Dr Mahathir turut menasihatkan rakyat agar tidak silap memilih kerajaan dalam pilihanraya umum akan datang.

Senator

Sehubungan itu, Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau akan terus berusaha untuk memperbetulkan pemikiran rakyat yang telah dipesongkan dan tertipu oleh PAS.

Katanya, ini termasuk tindakan PAS memindahkan pengundi PAS dari kawasan yang mereka jangka kalah ke kawasan yang dijangka menang dan memindahkan nama pengundi Barisan Nasional (BN) keluar dari kawasan yang BN boleh menang.

Dr Mahathir dipilih sebagai naib presiden Umno pada 1975 dan timbalan presiden Umno pada 1978. Berikutan pengunduran Presiden Umno ketika itu, Tun Hussein Onn, Dr Mahathir dipilih sebagai Presiden Umno pada Jun 1981 dan memegang jawatan tersebut sehingga kini.

Di bawah kepimpinan beliau, parti pemerintah, Barisan Nasional memenangi pilihanraya umum pada 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999.

Dr Mahathir yang dilahirkan pada 20 Disember 1925 di Seberang Perak, Alor Setar, menjadi ahli Umno sejak parti politik tersebut diasaskan pada 1946. Beliau dipilih sebagai ahli Parlimen Kota Setar Selatan dalam pilihanraya umum 1964. Bagaimanapun, beliau kehilangan kerusi parlimen itu dalam pilihanraya umum 1969.

Pada 1973, Dr Mahathir dilantik sebagai senator. Bagaimanapun, beliau meletak jawatan untuk bertanding dalam pilihanraya umum 1974 bagi kerusi Parlimen Kubang Pasu, yang kemudiannya dimenangi menang tanpa bertanding.

Menteri Kewangan

Pada 5 Mac 1976, beliau dilantik menjadi timbalan perdana menteri, di samping memegang portfolio menteri pelajaran. Beliau melepaskan portfolio menteri pelajaran pada akhir tahun 1977 dan memegang jawatan menteri perdagangan dan industri.

Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri Malaysia ke-4 pada 16 Julai 1981. Dari 18 Julai 1981 hingga 6 Mei 1986, beliau memegang jawatan menteri pertahanan di samping sebagai Perdana Menteri.

Pada 7 Mei 1986, beliau melepaskan portfolio menteri pertahanan dan memegang jawatan menteri dalam negeri, dan setahun kemudian, iaitu pada 20 Mei 1987, beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri, menteri dalam negeri dan menteri kehakiman.

Bagaimanapun, selain jawatan Perdana Menteri, Dr Mahathir memegang semula jawatan menteri dalam negeri mulai 26 Oktober 1990 sehingga Januari 1999. Selepas penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan Umno, pada 7 September 1998, Dr Mahathir menjadiMenteri Kewangan I.

Pada 8 Januari 1999, beliau menyerahkan jawatan menteri dalam negeri kepada Abdullah Badawi dan jawatan menteri kewangan kepada Tun Daim Zainuddin. Selepas pilihanraya umum 1999 iaitu pada 14 Disember 1999, Dr Mahathir diberi mandat sebagai Perdana Menteri Malaysia bagi penggal ke-5.

Berikutan peletakan jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Tugas-Tugas Khas oleh Tun Daim Zainuddin pada 1 Jun 2001, Dr Mahathir memangku kedua-dua jawatan tersebut. Pada masa sekarang, Dato Seri Dr Mahathir masih memegang jawatan menteri kewangan.