Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan mengemukakan laporan terperinci kepada kedutaan negara-negara asing yang rakyatnya ditahan di pusat tahanan imigresen di Sabah.

Pesuruhjaya Suhakam Prof Datuk Hamdan Adnan hari ini berkata ia bertujuan mempastikan kedutaan terbabit mengambil langkah-langkah proaktif bagi membantu rakyat mereka.

"Kami berharap mereka akan proaktif dan menjaga rakyat mereka supaya tidak terkandas di pusat-pusat tahanan bagi tempoh yang lama," katanya kepada Bernama .

Menurut laporan Bernama , Hamdan berkata ini membabitkan terutamanya pendatang asing tanpa izin dari India dan Pakistan yang perlu melalui proses dokumentasi yang rumit sebelum mereka boleh diterima oleh negara asal masing-masing.

"Sebagai contoh, pendatang asing itu perlu mengutus surat ke kampung asal mereka di India atau Pakistan dan mendapatkan pengesahan daripada seseorang di kampung berkenaan bahawa mereka sebenarnya memang berasal dari kampung itu.

"Jika tiada sesiapa yang memberikan maklumat balas kepada permintaan mereka, jadi mereka tidak boleh dihantar pulang dan akan kekal di sini sepanjang hayat," katanya.

Hak asasi manusia

Hamdan, yang melawat pusat tahanan di Menggatal, Sabah selain dari di Sandakan dan Tawau berkata, pihak berkuasa di Malaysia juga perlu melihat nasib "kanak-kanak tanpa negara" mereka yang dilahirkan di Sabah dengan tidak seorangpun daripada ibubapanya warganegara Malaysia.

"Saya fikir kita mempunyai keupayaan untuk menyerapkan mereka jika boleh...ini dapat menjadi sumbangan hak asasi manusia kita kepada dunia. Mereka terperangkap dalam keadaan yang sukar dan saya fikir kita perlu menyelesaikan masalah ini buat selama-lamanya," kata beliau.

Mengenai langkah Malaysia menghantar pulang pendatang asing tanpa izin, Hamdan berkata: "Ia perlu menjadi proses yang berterusan sehingga selesai. Selagi pendatang asing tanpa izin itu masih berada di sini, proses itu masih belum selesai."

Mengenai undang-undang imigresen Malaysia yang ketat yang membawa hukuman sebat terhadap pendatang asing tanpa izin dan pihak yang melindungi mereka, Hamdan berkata undang-undang itu perlu ketat dan dilaksanakan dengan adil.

"Mengikut falsafah hak asasi manusia, sebatan itu kejam dan hukuman yang luar biasa. Tetapi apa yang penting ialah kita sudahpun menjadikan hukuman itu undang-undang mengikut undang-undang (imigresen) kita.Undang-undang itu juga menyatakan majikan yang menggaji pendatang asing tanpa izin juga akan dikenakan hukuman yang serupa.

"Jadi kita perlu mematuhi undang-undang itu betul-betul. Sungguhpun kita tidak percaya bahawa sebatan merupakan cara terbaik untuk menyelesaikan isu itu, apa yang saya katakan ialah kita perlu melaksanakan undang-undang itu dengan adil dan tidak dilihat sebagai mengamalkan pilih kasih," kata beliau lagi.