Najib: Tiada lagi sikap "lebih kurang"
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu rakyat Malaysia membuang sikap "lebih kurang" dan berusaha untuk mencontohi sikap orang Jepun untuk menjadi satu masyarakat yang teliti bagi membolehkan Malaysia menjadi negara maju.
Beliau berkata demikian semasa berucap menerima anugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran oleh Universiti Meiji di Tokyo hari ini.
Perdana Menteri berkata sebelum majlis penganugerahan itu, beliau telah ditanya mengenai apakah yang difikirkannya adalah kualiti utama masyarakat Jepun.
Beliau berkata: "Saya berfikir satu ketika dan mengungkapkan perkataan "teliti" kerana orang Jepun merupakan satu masyarakat yang bersifat amat teliti."
Katanya menjadi teliti dan tepat amat penting dalam kemajuan sains dan teknologi dan ia juga nilai penting yang berkekalan.
Memberikan contoh program lawatannya, beliau berkata: "Semuanya sempurna, itulah sebabnya saya mahu rakyat Malaysia juga menjadi satu masyarakat yang bersifat teliti."
Perdana Menteri berkata ungkapan "lebih kurang" dalam Bahasa Malaysia adalah "tidak sinonim dengan hasrat kita untuk menjadi satu masyarakat yang bersifat teliti".
"Tidak boleh ''lebih kurang'', kita mesti lebih teliti dan tepat," katanya.
- Bernama

