Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas, yang sakit dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana penyakit berkaitan paru-paru, sudah semakin pulih, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, doktor berpuas hati dengan perkembangan kesihatan Yang Dipertua Negeri yang dirawat di hospital berkenaan sejak Ahad lepas.

"Saya ada melawat Tun (Abdul Rahman) pagi tadi. Beliau bertambah sihat dan tidak demam lagi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang dijadual semalam terpaksa ditangguh berikutan keuzuran Abdul Rahman.

Guan Eng berkata, tarikh baru perasmian DUN akan dibincangkan pada mesyuarat Exco Jumaat ini.

Speaker DUN, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, tarikh akhir dewan itu harus bersidang bagi penggal ini adalah sehingga 5 Jun.

- Bernama