Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa pengganas boleh berada di mana jua di dunia dan amat sukar untuk mengenalpasti mereka, demikian menurut laporan Bernama hari ini.

"Ini tidak bermakna bila mereka datang ke negara ini, kita memberikan mereka perlindungan atau sokongan. Kita tidak tahu siapa mereka...kita tidak sedar," katanya ketika diminta mengulas laporan agensi berita asing semalam bahawa orang kanan al-Qaeda yang disyaki, yang ditahan di Pakistan minggu lepas melawat Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Jika ada yang memberitahu kita dari awal lagi tidak mengapalah, kita boleh ambil tindakan tetapi apabila kita mengambil tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mereka (negara Barat) berkata ia bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia dan kita tidak sepatutnya mengambil tindakan sebelum sesuatu jenayah dilakukan.

"Jadi malangnya apabila sesuatu jenayah itu dilakukan, seseorang perlu menerima padahnya, maka selepas itu baru boleh kita ambil tindakan," katanya .

Menurut laporan itu, pada Januari 2000, orang kanan al-Qaeda yang disyaki itu, Ramzi Binalshibh telah bertemu dengan dua orang perampas pesawat yang merempuh Pusat Dagangan dan Pentagon pada 11 Sept tahun lalu.

Laporan itu juga menyebut bahawa para penyiasat juga mempunyai "gambar dan resit kad kredit yang menunjukkan Ramzi bertemu dengan perampas lain di Kuala Lumpur.

Mengenai isu Iraq, Dr Mahathir berkata, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) patut meminta Iraq membenarkan pemeriksa senjata memasuki negara berkenaan dan kemudian mengurangkan sekatan yang dikenakan terhadap negara yang kini miskin itu.

Perang antipengganas

"Sekatan tidak menyusahkan Saddam Hussein (Presiden Iraq), ia tidak akan membuatkannya mati. Ia menyusahkan rakyat miskin Iraq, termasuk mereka yang sakit, mereka yang tua, bayi...mereka inilah yang membayar harga bagi tindakan sekatan.

"Mereka ini tidak bertanggungjawab terhadap apa jua yang dilakukan oleh kerajaan Iraq," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Perbendaharaan di Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir memberi amaran bahawa serangan Amerika terhadap Iraq hanya akan melanjutkan perang terhadap keganasan.

"Saya ingat begitu, ia akan memanjangkan tempoh perang antipengganas," katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia sememangnya arif mengenai perkara itu kerana negara telah melalui pengalaman memerangi pengganas selama kira-kira 42 tahun.

"Ia mengambil masa 42 tahun bagi kita untuk mengalahkan pengganas. Bukannya mudah. Pada siang hari mereka mungkin menjual sayur kepada anda, dan pada malamnya mereka mungkin menjadi pengganas. Mereka mungkin jiran anda hari ini, keesokannya mereka mungkin meletupkan diri mereka dari sebuah kapal terbang," katanya.

Dr Mahathir berkata, Amerika Syarikat perlu mengambil kira sokongan negara-negara lain sebelum mengambil langkah drastik menyerang Iraq.

Perasaan marah

"Kita hendak elak daripada timbul perasaan marah, benci orang Islam. Kalau dia (Amerika) serang Iraq, negara-negara yang bermusuh dengan Iraq pun tak bersetuju, termasuk Arab Saudi.

"Kalau dia serang juga sudah tentu orang Islam akan berasa di diskriminasi dan kebencian kerajaan Islam (akan meningkat)," katanya.

Ditanya jika kewibawaan PBB tercabar dengan tekanan Amerika itu, beliau berkata PBB dicipta oleh kuasa-kuasa besar untuk kepentingan mereka.

"Di zaman itu, jumlah negara adalah terhad jadi mereka berpendapat kalau ada PBB mereka boleh guna PBB untuk menghalalkan segala tindakan mereka. Tetapi apabila PBB kukuh dan banyak negara menjadi anggota PBB, maka kuasa-kuasa besar mendapati mereka tidak boleh lagi manipulasi," katanya.

Dr Mahathir berkata, negara-negara ini akan cuba memperalatkan PBB untuk tujuan mereka sendiri dan jika ia tidak boleh diperalatkan, pertubuhan itu akan dilupakan begitu sahaja.

Ditanya mengenai media Barat yang seolah menggalakkan Amerika untuk mengebom Iraq, beliau berkata media sememangnya suka mengapi-apikan peperangan.

"Oleh itu, akan banyak berita yang anda boleh tonton di BBC , laporan langsung

CNN mengenai peperangan itu dan pastinya selepas itu mereka (wartawan) akan menjadi hero (apabila) dia terbunuh. Mereka pergi ke sana sudah tentu mereka terbunuh... mereka bukannya hero," katanya.