Barisan Alternatif (BA) akan membentangkan Belanjawan 2003 di Bangunan Parlimen esok dengan mengemukakan strategi ekonomi dan program pembangunan negara mengikut perspektif BA.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh sekretariat BA hari ini, pengerusinya, Abdul Rahman Othman berkata pembentangan belanjawan itu akan memberi peluang kepada rakyat untuk membuat perbandingan di antara belanjawan BA dan Barisan Nasional (BN).
"BA akan mengemukankan belanjawan 2003 dan kita tidak akan mempunyai masalah sekiranya pembentangan Belanjawan 2003 yang dibuat oleh Menteri Kewangan pada 20 September nanti menerima pakai perkara-perkara yang dibentangkan," kata Abdul Rahman.
Beliau berkata tuduhan yang dilemparkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa pembentangan Belanjawan 2003 oleh BA adalah suatu gimik politik adalah tidak benar dan melampau.
"Ianya bukan pembentangan politik, tetapi disediakan oleh pasukan profesional yang melihat banyak sumber negara boleh diselamatkan ekoran pembaziran BN," kata Abdul Rahman lagi.
Beliau menambah kandungan pembentangan tersebut bertujuan untuk mengemukakan unjuran-unjuran terbaik dan polisi fiskal yang mengutamakan kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.
"Malahan, dakwaan pemimpin BN bahawa belanjawan BA tidak tepat adalah melucukan kerana banyak unjuran yang dikemukan oleh kerajaan dalam belanjawan negara juga tidak tepat," tambahnya.
