mk-logo
News
M'sia sememangnya negara Islam, kata Dr Mahathir
Published:  Sep 17, 2002 12:51 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Pengiktirafan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang diberikan oleh dunia Islam atau bukan Islam sudah mencukupi untuk negara ini dianggap sebagai negara Islam, kata Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Menurut laporan Bernama , Perdana Menteri berkata jumlah besar daripada umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam.

Sambil menyatakan alasan lain sebenarnya tidak perlu untuk membuktikan Malaysia ialah negara Islam, Dr Mahathir berkata kerajaan boleh menunjukkan bukti jelas bahawa segala ajaran Islam yang mampu dilaksanakan oleh pemerintahan di Malaysia telahpun dilaksanakan.

"Undang-undang Islam atau hukum syarak dikuatkuasakan di Malaysia dengan mengambilkira keadaan negara yang berbilang agama dan keadilan yang menjadi perkara utama dalam undang-undang Islam," katanya ketika merasmikan seminar 'Memahami Malaysia Sebagai Sebuah Negara Islam' di sini.

Dr Mahathir berkata Islam memberi kelonggaran kepada pelaksanaan hukum mengikut keadaan dan di negara yang orang Islam menjadi minoriti dan tidak berkuasa, hukum Islam dikuatkuasakan setakat yang termampu dan tidak membawa bencana kepada orang Islam.

Di negara yang penduduknya 100 peratus orang Islam pula hukum Islam boleh dilaksanakan sepenuhnya, katanya.

Dr Mahathir berkata orang Islam dan ajaran Islam diberi perlindungan oleh kerajaan Malaysia manakala penyebaran ajaran sesat disekat.

Pendapat umum

Katanya ahli Sunnah Waljamaah yang setia tidak boleh menolak pendapat umum untuk mengikut pendapat puak dan kumpulan kecil yang berlainan dengan pendapat jemaah.

Berpecahnya umat Islam adalah disebabkan kumpulan penentang yang kecil ini, seperti puak Khawarij dulu, yang menolak pendapat jemaah yang besar, katanya.

"Mereka yang menolak pendapat golongan yang terbesar antara orang Islam di negara ini, yang suka memecah-belah orang Islam, mencetus huru-hara, mereka ini tidak berhak untuk menyoal Islam atau tidaknya Malaysia," katanya.

Dr Mahathir berkata golongan minoriti ini tidak mempunyai apa-apa mandat untuk menentukan negara ini Islam atau tidak.

Katanya apa yang penting ialah jemaah Islam di Malaysia dan di tempat-tempat lain mengiktiraf negara ini sebagai negara Islam.

"Pengiktirafan oleh orang yang berkepentingan terutama oleh orang yang menidakkan ajaran Islam seperti mendakwa Tuhan samseng terbesar, penjahat dan penipu, pengiktirafan oleh mereka seperti ini tidak penting," katanya.

Oleh yang demikian, sama ada golongan seperti ini mengiktiraf atau tidak, hakikatnya ialah Malaysia adalah negara Islam yang diperintah oleh orang Islam dengan segala suruhan Allah boleh diamalkan dengan bebas dan selamat, tegas beliau.

Suruhanjaya Reid

Ketika menjawab soalan pada sesi soal jawab kemudian, Dr Mahathir ditanya mengenai Suruhanjaya Reid yang diberi mandat membentuk perlembagaan negara tetapi laporannya tidak menyebut Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Kata Perdana Menteri, walaupun diwaktu Suruhanjaya Reid diberi mandat membentuk perlembagaan negara pada 1957 tidak menyebut Malaysia sebuah negara Islam dalam perlembagaannya, tetapi pada hakikatnya negara-negara di dunia menerima Malaysia sebagai negara Islam.

"Reid Commission patut baca sedikit sejarah Islam, walaupun tidak disebut dalam perlembagaannya, hakikatnya negara dan dunia terima kita sebagai negara Islam," katanya.

Katanya, dunia Islam turut menganggap dan selalu merujuk Malaysia sebagai sebuah negara contoh kepada negara Islam yang lain. Dr Mahathir juga berkata, beliau tidak mengetahui sama ada Suruhanjaya Reid memahami tafsiran negara Islam.

"Mereka hanya tahu negara sekular, jadi mereka menganggap negara yang boleh amalkan semua agama tanpa gangguan sebagai negara sekular," katanya.

"Bagi mereka semua negara yang mempunyai penduduk berbilang agama adalah negara sekular," tambah Dr Mahathir.

Tetapi mengikut sejarah Islam seperti di Andalusia, Sepanyol, katanya ada orang beragama Kristian dan Yahudi tetapi terus menerima wilayah-wilayah di situ sebagai wilayah Islam.

Dr Mahathir berkata, sesetengah pihak juga tidak boleh menidakkan bahawa Malaysia sebuah negara Islam hanya kerana ia mempunyai penduduk bukan Islam dan sehingga menidakkan keislaman negara ini.

Show your support for robust journalism

Millions depend on Malaysiakini for the truth. Millions depend on Malaysiakini for quality journalism. Millions depend on Malaysiakini to stand in honour of integrity and justice.

Without a mafia owner to dictate our journalism; free from political or commercial influence, Malaysiakini has only one boss - you, the rakyat.

We take this opportunity to thank you for your love for our country, your trust and respect in us to do our job in holding the powerful to account. We depend on your subscription to protect the sanctity of our journalism. Thank you.

Malaysiakini Team

Read more like this :
Most Read
Most Commented
Most Recent