SPR: Mafrel dihentikan kerana tak jalankan tugas
Pemberhentian khidmat Pertubuhan Pilihan Raya Bebas Malaysia atau Mafrel, yang bertindak sebagai organisasi pemerhati dan pemantau pilihan raya tidak berpartisan, dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor adalah kerana organisasi tersebut tidak menjalankan tugas seperti yang diamanahkan, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
"Sewaktu dilantik, syarat utama adalah untuk memantau pilihan raya semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 dan hantar laporan kepada kita. Memang betul mereka ada buat, tapi untuk sembilan pilihan raya kecil selepas itu, langsung tiada,"katanya ketika ditemubual dalam slot "Kerusi Panas" di Radio 24 di Kuala Lumpur, semalam.
"Tiada gunanya melantik organisasi tersebut yang diharap dapat membantu SPR menambahbaik tugas mereka dalam mengendalikan pilihan raya, tetapi jelas mengecewakan, katanya.
Menurut Wan Ahmad, ketiadaan Mafrel tidak akan mengganggu kelancaran pilihan raya pada Ahad ini memandangkan wakil setiap calon yang bertanding akan hadir dan memantau proses pengundian pada hari tersebut.
Wan Ahmad turut menafikan dakwaan yang SPR tidak bebas dan berada di bawah kawalan kerajaan.
"SPR dilantik oleh Majlis Raja-Raja. Pengerusi pula dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Kita tidak bertanggungjawab kepada kerajaan yang memerintah walaupun Perdana Menteri yang syor nama," katanya.
Wan Ahmad berkata semua tindakan SPR dilaporkan kepada pihak Istana Negara.
Beliau juga berkata tidak wujud isu pemindahan pengundi pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor sebaliknya hanya berlaku pertukaran pusat pengundian tetapi masih di daerah yang sama.
"Pusat pengundian yang lama kita tutup sepenuhnya. Tidak kira seribu atau dua ribu pengundi di pusat yang lama itu kita bawa ke pusat undi baru yang lebih selesa dan disokong oleh polis dalam sudut ketenteraman awam," katanya kepada Bernama .
Beliau mengulas dakwaan kononnya terdapat pemindahan lebih 14,000 pengundi di Hulu Selangor bagi pilihan raya kecil Ahad ini.
Sambil menyifatkan dakwaan tersebut tidak berasas, beliau menjelaskan: "Kita bukan pindah pengundi dari pusat A ke pusat B (untuk memecahkan undi). Tapi kita bawa semua sekali dan tutup pusat yang lama untuk beri keselesaan dan memperelokkan proses pilihan raya."
Beliau berkata tindakan SPR itu dibenarkan di sisi undang-undang.
Menjelaskan isu pertukaran 233 pengundi ke Parlimen Selayang yang turut dibangkitkan pembangkang, Wan Ahmad berkata tidak timbul kekeliruan dalam perkara tersebut memandangkan perubahan lokaliti telah dilakukan pada 2008 lagi.
"Sebenarnya 228 pengundi sahaja. Dulu kita buat persempadanan ini manual dengan Jabatan Pemetaan. Sekarang dengan peningkatan teknologi, SPR buat guna Sistem Maklumat Geografi (GIS), digitalize peta dengan bantuan Google. Baru kita tahu rupanya Kg. Tanjung terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang," katanya.
Beliau menegaskan perkara itu dilakukan pada Nov 2008 dan telah memaklumkan kepada orang ramai pada suku pertama tahun 2009 dan ia tidak dibantah mana-mana pihak.
"Pada Dis 2008 pun kita dah maklumkan pada parti-parti politik. Mustahil mereka tak tahu. Pengundi pun tak mungkin keliru. Kalau mereka dah semak sejak awal, mereka akan terus pergi ke pusat undi baru," katanya.
Pada persidangan Dewan Rakyat Selasa lepas, Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fuziah Salleh yang juga anggota Parlimen Kuantan mendesak kepimpinan tertinggi SPR meletak jawatan kerana didakwa gagal menjalankan tugas dengan baik dan mengabaikan kebajikan lebih 14,000 pengundi tersebut.

