Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Ras Adiba harap dapat pulang dalam masa tiga minggu lagi
Published:  Sep 18, 2002 10:09 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Personaliti televisyen Ras Adiba Radzi berharap untuk pulang ke Malaysia selepas berjaya menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di Sydney, Australia minggu lalu.

"Saya berasa semakin pulih dan semangat saya tinggi. Tetapi saya masih dalam kesakitan yang amat sangat," katanya.

Menurut laporan Bernama hari ini, Ras Adiba berkata pembedahan itu merupakan pembedahan pembetulan pada implan tulang belakangnya yang mengambil masa kira-kira dua setengah jam.

"Saya kini menjalani terapi intensif dan pemulihan bagi menyediakan diri kepada kehidupan baru," katanya.

Selain dikunjungi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Mohd Arshad Hussain dan isterinya Tunku Suria Tunku Ismail, beberapa menteri termasuk Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng menghubungi Ras Adiba untuk bertanyakan tentang kesihatannya.

Beliau menyuarakan penghargaannya terhadap ingatan baik mereka itu selain mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menghantar mesej dan menyokong beliau. Ras Adiba berkata beliau juga berharap untuk kembali kepada tugas-tugas di televisyen.

"Apa yang berlaku sudah berlalu dan tidak ada sesuatupun yang saya boleh lakukan untuk mengubah sejarah tetapi esok boleh membawa perubahan dan saya berharap dapat menggalakkan perkara-perkara baik untuk golongan kurang upaya di Malaysia," kata beliau.

Kontroversi

Sebelum ini, kisah Ras Adiba menjadi kontroversi apabila hospital tempat dia dirawat di Australia menyatakan beliau tidak memerlukan sebarang pembedahan bagi penyakit lumpuh yang dihidapinya.

Ini berikutan sebelum itu Ras Adiba telah merayu sumbangan, dan kemudiannya berjaya mengumpukan lebih RM300,000 hasil sumbangan orang ramai dan beberapa pertubuhan dan yayasan di Malaysia, bagi menjalani rawatan di Australia.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajar Malaysia di Sydney, Abdul Rahman Salim menjaga kebajikan Ras Adiba di Australia.

Beliau, isterinya Hamizon Abdul Hamid dan rakyat Malaysia serta Singapura di Sydney mengadakan beberapa kunjungan ke Hospital Lady Davidson tempat Ras Adiba beransur sembuh.

"Ras menyahut cabaran sebuah kehidupan baru. Beliau seorang yang kuat, seorang yang berkeyakinan," katanya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS