Ahli Parlimen pembangkang dakwa Umno bawa masuk pengundi Thai
Umno didakwa mengeluarkan berpuluh ribu kad pengenalan kepada penduduk selatan Thai untuk menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan dalam pilihanraya negeri 1978, demikian menurut laporan dalam Berita Keadilan .
Dalam terbitan terbarunya, lidah rasmi parti Keadilan itu melaporkan Ahli Parlimen Kota Bharu, Ramli Ibrahim, sebagai berkata, berikutan itu Umno ketika itu telah berjaya menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan yang dipimpin oleh Datuk Asri Muda.
Bagaimanapun, kata Ramli, pengundi keturunan Siam tersebut tidak menyokong Umno dalam pilihanraya umum 1999 dan ini telah mengecewakan pemimpin Umno, termasuk pengerusi Umno Kelantan Datuk Mustapha Mohamad.
"Ini menyebabkan bekas Menteri Kewangan itu membuat dakwaan kira-kira 20,000 rakyat Thailand dari bahagian selatan negara itu dan mempunyai dua kad pengenalan, mengundi di Kelantan," akhbar itu memetik Ramli sebagai berkata.
Menurutnya lagi, Mustapha kecewa dengan pengundi tersebut yang memihak kepada pembangkang selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan dan Umno pada tahun 1999.
Menurut Ramli lagi, Mustapha amat kecewa kerana beliau tewas di kawasan Parlimen Jeli dalam pilihanraya umum 1999 walaupun ramai orang Melayu keturunan Siam tinggal di kawasan tersebut, selain di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat.
Pengundi hantu
Beliau berkata, pihaknya sedar bahawa Umno telah lama melakukan perkara ini demi mendapatkan pengundi bagi membantunya memenangi pilihanraya.
Isu pengundi hantu ditimbulkan semula oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno bulan lalu.
Dr Mahathir mendakwa kemenangan PAS dalam pilihanraya kecil Anak Bukit di Kedah Julai lalu adalah disebabkan oleh sokongan pengundi hantu.
Presiden Umno itu juga mendakwa Barisan Nasional mungkin menang dengan majoriti yang lebih besar sekiranya PAS tidak mendapat bantuan pengundi hantu di Pendang.
Susulan kepada dakwaan Dr Mahathir tersebut, pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) turut mendedahkan bahawa terdapat ramai "pengundi import" di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pahang.
Beliau mendakwa kegiatan tersebut dilakukan secara tersusun oleh "sebuah parti politik" tanpa mendedahkan nama parti tersebut.
Bagaimanapun, PAS menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut malah mendakwa bahawa pihaknya tidak mempunyai kapasiti untuk berbuat demikian.
Malahan, PAS berkata pihaknya sentiasa mengambil pelbagai langkah keselamatan untuk memastikan pengundi hantu tidak dapat membuang undi terutamanya ketika pilihanraya kecil.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.