Pengharaman konsert atau pertunjukan terbuka yang melibatkan kaum wanita oleh kerajaan PAS Kelantan tidak menghalang mereka menyumbang kepada masyarakat dan pembangunan negara, demikian menurut Dewan Muslimat PAS hari ini.

Menurut setiausaha dewan berkenaan, Nuridah Salleh, peraturan itu bukan sahaja selari dengan ajaran Islam tetapi juga telah meninggikan martabat kaum wanita kerana ia menghalang mereka daripada dieksploitasikan bagi tujuan hiburan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ketika dihubungi, beliau juga membidas kenyataan ketua pergerakan wanita Umno Datuk Seri Rafidah Aziz semalam bahawa peraturan itu telah menafikan wanita daripada membabitkan diri dalam pembangunan dan menghakis hak mereka.

Rafidah yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri, memberitahu media bahawa peraturan itu telah membawa wanita kembali kepada kemunduran dan menjadikan meraka penduduk kelas ketiga.

Gejala sosial

Sehubungan Nuridah berkata, Rafidah mungkin celaru dengan maksud pembangunan dan mempersoalkan apakah bukti yang menunjukkan wanita akan terkebelakang jika mereka tidak dibenarkan menyanyi di khalayak ramai.

"Peraturan itu tidak langsung menghalang kita daripada melibatkan diri dalam proses pembangunan kerana kami boleh bekerja, menjalankan perniagaan dan melibatkan diri dalam politik.

"Di merata negeri Kelantan, wanita berada di barisan hadapan dalam pengendalian perniagaan baik besar atau kecil. Keadaan ini tidak akan berubah hanya kerana kami tidak boleh terlibat dalam hiburan terbuka," katanya.

Beliau bersetuju dengan pendapat kerajaan negeri bahawa ketiadaan konsert sedemikian akan mengurangkan gejala sosial di kalangan masyarakat dan sekaligus menyenangkan kaum ibu melaksanakan tangunggujawab mereka sebagai pendidik anak-anak.

"Saya rasa Datuk Seri Rafidah perlu merujuk semula kepada al-Quran dan sirah (sejarah hidup) Nabi jika dia berpendapat bahawa wanita akan bergerak maju jika mereka dibenarkan terlibat dalam konsert dan hiburan," katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa muslimat, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali berkata kenyataan Rafidah itu mencerminkan"kemunduran pemikirannya".

"Adakah hiburan itu lambang pembangunan? Pada zaman jahiliyah memanglah hiburan itu begitu kerana sebelum kedatangan Islam, kaum Arab memang menggunakan wanita bagi tujuan hiburan. Tapi itu semua bertukar setelah Islam datang.

"Sebenarnya yang mundur itu adalah Rafidah Aziz kerana dia gagal meneladani sejarah Islam yang telah membawa status wanita ke hadapan kerana mereka tidak dipergunakan sebagai alat hiburan," katanya.

Beliau menambah jika dibandingkan dengan pencapaian wanita di negeri-negeri lain, wanita Kelantan adalah yang paling aktif menyumbang kepada sektor ekonomi.

Peraturan itu juga selaras dengan ajaran Islam yang mewajibkan wanita menutup aurat mereka dan ini termasuk suara yang sengaja dilunakkan untuk mendapat perhatian ramai, katanya lagi.

Isnin lalu, penasihat undang-undang PAS Ahmad Takiyuddin Hassan memberitahu akhbar harian berbahasa Inggeris The Star bahawa kaum wanita tidak lagi dibenarkan mengambil bahagian dalam sebarang konsert atau acara hiburan terbuka termasuk di hotel-hotel dan resort di negeri itu.

Beliau menjelaskan bahawa tindakan itu perlu bagi menyekat pebuatan tidak bermoral di kalangan remaja.