Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini membentangkan Belanjawan 2003 yang turut menyediakan dana khusus bagi membantu rakyat yang berpendapatan rendah dan tiada sebarang cukai baru, tetapi menegaskan ianya bukan 'belanjawan pilihanraya".

"Jangan ingat ini belanjawan untuk pilihanraya umum akan datang. Barisan Nasional (BN) mempunyai banyak masa untuk memerintah," tegas beliau sambil disambut dengan tepukan para penyokong kerajaan.

Peruntukan itu termasuk menyediakan dana sebanyak RM100 juta bagi membantu membiayai rawatan penyakit kronik bagi mereka atau kanak-kanak yang ibubapa mereka berpendapatan kurang daripada RM600 sebulan atas asas "seringgit bagi seringgit".

Selain itu, kerajaan juga mencadangkan kadar pengecualian cukai bagi pembayaran pampasan pekerja yang terpaksa berhenti kerja atau menerima tawaran skim pemberhentian sukarela (VSS), dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM6,000 bagi setiap tahun perkhidmatan.

Kerajaan juga mencadangkan pemberian galakan elaun bangunan sebanyak 10 peratus daripada kos pembelian atau pembinaan bangunan pusat penjagaan orang tua, selama 10 tahun, bertujuan memperbanyakkan lagi pusat sedemikian.

Kerajaan juga, kata Dr Mahathir, tidak meminggirkan golongan kurang upaya kerana mereka turut diberi peruntukan berjumlah RM19 juta. Manakala golongan cacat penglihatan pula menerima geran RM2 juta bagi mengisi tabung teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bagi membantu mereka memperolehi komputer serta peralatan ICT yang lain.

Sebulan bonus

Dr Mahathir juga membawa berita gembira kepada hampir satu juta kakitangan awam di negara ini apabila beliau mengumumkan bahawa mereka akan menerima bonus satu bulan atau minimum RM1,200.

Menurut Dr Mahathir, walaupun tiada cukai baru dikenakan, tetapi beliau mengingatkan kutipan cukai akan dipastikan berjalan lancar supaya kerajaan mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk menampung perbelanjaan.

Untuk menggerakkan keputusan kerajaan melaksanakan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah, Dr Mahathir berkata kerajaan memperuntukkan hampir RM5 bilion mulai 2002 hingga 2008 dengan RM978.7 juta dibelanjakan tahun ini dan 2003, bagi membeli peralatan yang diperlukan seperti komputer notebook dan projektor LCD.

Sebelum itu, Dr Mahathir berkata cadangan bagi Belanjawan 2003 sebanyak RM109.8 bilion. Dengan mengambil kira anggaran hasil sebanyak RM89.79 bilion, akaun keseluruhan Kerajaan Persekutuan dijangka mencatatkan defisit 3.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu lebih rendah daripada 4.7 peratus pada 2002.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga juga menerima peruntukan RM99.1 juta peningkatan 68 peratus berbanding tahun ini, selaras dengan pengiktirafan berterusan yang diberikan oleh kerajaan kepada peranan wanita dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara.

Urusan keluarga

Perdana Menteri berkata selaras dengan hasrat mengutamakan keluarga, kerajaan bersetuju menambahkan lagi cuti isteri bersalin bagi suami daripada tiga kepada tujuh hari bagi meringankan urusan keluarga.

Kerajaan juga bersetuju memberi cuti tanpa rekod sebanyak tiga hari untuk anggota perkhidmatan awam yang kematian anggota keluarga terdekat untuk membantu mereka mengendalikan urusan keluarga, katanya.

Bagi ibu tunggal pula, Perdana Menteri berkata kerajaan akan memberi keutamaan kepada mereka yang berpendapatan kurang daripada RM600 sebulan untuk memiliki rumah kos rendah secara berkelompok.

Turut dibantu ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersikap positif dan sentiasa berusaha untuk membantu anggota masyarakat yang tidak bernasib baik, melalui peruntukan RM102.1 yang akan disalurkan menerusi lapan kementerian yang berkaitan.

"Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan RM9 juta untuk Majlis AIDS Malaysia, iaitu RM4 juta untuk aktiviti pencegahan dan RM5 juta bagi menampung rawatan pesakit yang terdiri daripada penagih dadah," katanya.