BERITA

Motif sebenar Kickdefella dedah terima RM4 juta

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Apr 2010, 11:45 tengahari

Penulis blog Kickdefella Syed Azizi Syed Abdul Aziz berkata, beliau mendedahkan menerima peruntukan RM4 juta untuk 'Operasi Gerak Saraf' PAS semata-mata bagi menyanggah kenyataan yang menuduhnya tidak membantu kepada kemenangan parti Islam itu.

"Kalau saya tidak bekerja, kenapa PAS memberikan saya RM4 juta (untuk diuruskan)? Jumlah yang begitu besar," jawabnya ketika ditanya berhubung motif sebenarnya membuat pendedahan menggemparkan itu.

syed azidi syed abdul aziz kickdefella police pc 171008 04 Semalam, Syed Azizi ( kanan ) mendakwa, beliau menerima peruntukan besar itu supaya beliau mewujudkan persepsi buruk terhadap bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan memastikan PAS kekal memerintah Kelantan.

Dalam coretannya berjudul 'Saya yakin Nik Aziz akan kena dakwa - jawapan kepada S/U akhbar MB Kelantan dan Tulang Besi', Syed Azidi mencabar Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri Ahmad Fadhli Shaari menyiasat perbelanjaan wang itu dan membuktikan sama ada ia digunakan bagi tujuan peribadi.

Sementara penulis blog Abdul Rahman Talib - yang lebih dikenali sebagai "Tulang Besi" - pula dicabar menyiasat dan mendedahkan nama individu yang membiayai aktiviti yang ditaja itu.

Ahmad Fahdli bagaimanapun mendakwa Dewan Pemuda Kelantan tidak tahu menahu mengenai 'projek' tersebut dan akan membincang mengenai perkara itu dalam mesyuaratnya yang akan datang.

Beliau juga mencabar kembali Syed Azidi supaya mendedahkan butiran lanjut dakwaannya itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Syed Azidi berkata beliau tidak mempunyai apa-apa tujuan selain menjawab kenyataan Ahmad Fadhli yang dilaporkan mendakwanya tidak banyak membantu PAS dalam pilihan raya.

"Sebagai orang baru, dia sepatunya teliti dahulu (fakta) sebelum keluarkan sebarang kenyataan.

"Terlajak perahu boleh diundar, terlajak kata buruk padahnya," katanya yang baru dua bulan dilantik sebagai setiausaha akhbar kepada menteri besar Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Ditanya sama ada beliau akan melayan cabaran Ahmad Fadhli, Syed Azidi menjawab tidak perlu.

"Kalau kerja saya pun dia tidak tahu, tidak perlu saya hendak melayannya. Macam saya pernah sebut dulu, ini bukan tahap dia (untuk tahu)," katanya yang pernah 'bertelagah' dengan menantu Nik Aziz - Abdul Ariffahmi Ab Rahman yang memecatnya daripada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) November lalu.

Mengulas lanjut, Syed Azidi juga berkata, ada beberapa perkara yang beliau tidak akan maklumkan kepada sesiapa dan akan "disimpan sampai mati".

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.