mk-logo
Berita
Kertas siasatan kes Aminulrasyid Amzah ke DPP
Diterbitkan:  Apr 30, 2010 4:34 AM
Dikemaskini: 1:15 PM

Polis telah menghantar kertas siasatan berhubung kes seorang remaja, Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati terkena tembakan polis Isnin lepas, kepada timbalan pendakwa raya (DPP) bagi tindakan selanjutnya.

   

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata pihaknya juga mengalu-alukan inkues dijalankan berhubung kes berkenaan bagi mengetahui kejadian sebenar dan punca insiden terbabit.

"Pegawai penyiasat kes ini telah hantar kertas siasatan ke DPP hari ini bagi tindakan selanjutnya, dan saya minta supaya inkuiri dijalankan dahulu untuk kita lihat sama ada terdapat justifikasi terhadap tindakan polis," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian itu di Jalan 11/2G di Seksyen 11 di Shah Alam.

Terdahulu, beliau menghadiri taklimat kes berkenaan di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.

   

Musa berkata beliau dimaklumkan oleh ketua pegawai penyiasat kes itu bahawa ketika kejadian, polis mengejar kereta yang dipandu remaja itu sepanjang enam kilometer dengan kadar kelajuan yang tinggi.

   

"Kita sedih dengan kejadian ini dan minta supaya masyarakat mengikut arahan polis jika diminta untuk berhenti bagi mengelak syak wasangka.

   

"Kalau tidak ada lesen pun jangan takut, paling habis pun dikenakan tindakan saman. Sekali lagi saya ingatkan jangan lari sebab kalau lari akan menimbulkan kecurigaan," katanya.

Mengulas mengenai salah anggap masyarakat terhadap tindakan polis, Musa berkata polis hanya menjalankan tugas lebih-lebih lagi kawasan kejadian dikatakan berlaku banyak kes pecah rumah dan pastinya insiden yang berlaku pukul 2 pagi itu menimbulkan kecurigaan.

   

"Saya sendiri telah cadangkan kepada kerajaan supaya setiap kereta peronda polis dilengkapi kamera video bagi memudahkan pegawai terbabit merakam setiap insiden yang berlaku.

   

"Malangnya, tiada peruntukan mencukupi walaupun cadangan itu diutarakan sejak 2006, bila ada kamera video ia akan melindungi tindakan anggota polis dan orang awam," katanya.

   

Musa berkata beliau tidak boleh mendedahkan maklumat lanjut berkenaan kes itu kerana ia masih dalam siasatan bagi melihat justifikasi tindakan yang diambil.

   

"Saya pun hendakkan keadilan ini diberikan kepada semua pihak dan juga Allahyarham ini. Jadi, sama-samalah kita cari keadilan," katanya.

   

Musa meminta agar kes itu tidak dipolitikkan kerana semua maklumat dan fakta yang diterima akan disiasat dengan telus tanpa melindungi mana-mana pihak.

- Bernama

AG pulangkan kertas siasatan Aminulrasyid

Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS