Seorang peminat malaysiakini pernah berdebat beberapa kali dengan penulis melalui emel. Setiap kali nama NUJ (Kesatuan Wartawan Nasional) disebut, peminat itu nampaknya mudah tersinggung walau dia cuba menyembunyikannya.

Walau cuba ditutup atau dinafi, saban waktu kita dapat melihat carik-carik di kertas akhbar harian arus perdana. Selasa lalu misalnya, sebuah akhbar harian melaporkan kenyataan kumpulan aktivis kebebasan media, CPJ atau Jawatankuasa Perlindungan Wartawan, berhubung buku tahunannya [#1] Attacks on the Press in 2000 [/#] (Serangan ke atas Media pada tahun 2000).

Laporan tahunan setebal 550 halaman itu merumuskan bentuk-bentuk pencabulan terhadap wartawan, pengarang dan penerbit di 131 negara, termasuk Malaysia, sepanjang tahun lalu. Antaranya, laporan yang menfailkan 600 kes itu turut menyebutkan 81 wartawan kini masih merengkok di penjara.

Akhbar harian itu yang kini cuba dipakejkan sebagai sebahagian 'media berakhlak, wibawa dan sah' itu bagaimanapun gagal menutup wajahnya yang sebenar. Kempen untuk 'menjaga jati diri' melalui media seumpama itu sekali digagalkan oleh tindakan mereka sendiri.

Pada ruangan berita dunia, akhbar itu melaporkan bilangan wartawan yang meninggal di seluruh dunia demi memenuhi kerjaya yang mulia ini. Pada ruangan berita serantau, akhbar itu melaporkan nasib yang dialami wartawan di Indonesia.

Memang hebat laporan-laporan itu: 24 orang mati di seluruh dunia dan 118 kes serangan di tanah seberang.

Tetapi akhbar itu tidak melaporkan walau sepatah ayat - jauh sekali berita - tentang keadaan media di negara ini, misalnya penutupan tiga akhbar dan majalah berbahasa Melayu tahun lalu, Detik , Eksklusif dan Al-Wasilah .

Wartawan lembik

Isu-isu ini juga disebut dalam buku tahunan CPJ itu tetapi kenapa ia tidak dilaporkan media arus perdana? Kegagalan ini sudah cukup menunjukkan sejauh mana kebebasan yang ada pada media 'berakhlak, sah dan berwibawa' itu.

Laporan CPJ itu malah menyebutkan lagi "hampir semua media di negara ini dimiliki atau dikawal oleh parti-parti komponen Barisan Nasional."

"Media alternatif dikawal atau diharamkan tahun lepas. Wartawan yang mengkritik kerajaan diugut akan didakwa di mahkamah," kata pertubuhan yang berpangkalan di New York itu, sambil menyifatkan wartawan yang bertugas dengan media arus perdana negara ini tidak mempunyai organisasi berkesan untuk menyuarakan bantahan mereka bagi mendapatkan kebebasan media yang lebih luas.

"NUJ misalnya, gagal membantah penutupan atau sekatan terhadap penerbitan alternatif pada tahun 2000," kata laporan itu lagi.

Akibat kawalan kerajaan dan gaji lumayan, wartawan media perdana mengamalkan tapisan sendiri atau self-censorship ketika melaporkan berita, jelas CPJ lagi.

Teman di alam siber itu segera menghubungi saya dan mempertikaikan beberapa kerat laporan berita malaysiakini tiga hari lalu ([#2] 'Sambut hari kebebasan akhbar besar-besaran' [/#], 19 Mac). Tulis pembaca lelaki itu: "Setahu saya NUJ tidak ada kena mengena atau layak membuat apa-apa tindakan berhubung penerbitan yang tidak berdaftar sebagai badan bersekutu atau anggota NUJ."

Bagaimanapun seorang anggota NUJ, Jacqueline Ann Surin, menulis begini dalam majalah Aliran Monthly keluaran terbaru: "Sesetengah pertubuhan mesti memimpin usaha membangkitkan kesedaran tentang kebebasan akhbar dan kewartawanan beretika."

Pengakuan editor

"Paling atas dalam senarai (pertubuhan yang harus kedepan itu) adalah NUJ yang ditubuhkan dengan matlamat mempertahankan kebebasan akhbar,...," kata Jacqueline lagi dalam cetusan rasa bertajuk 'Media freedom: Our collective responsibility' (Kebebasan media: Tanggungjawab kita bersama).

Kita tidak bercadang mengkritik NUJ atau barisan pemimpinnya di sini tetapi soal 'kewartawanan (dan wartawan) lembik' atau tame journalism yang diamalkan oleh kumpulan kakitangan media arus perdana, dan hal ini turut diungkit dalam laporan CPJ itu.

Inilah puncanya media arus perdana menghadapi krisis kewibawaan yang serius. Bukan setakat diperkecilkan orang ramai tetapi menggugat perniagaan mereka. Ketika sibuk berkempen untuk memulih diri sendiri - pada waktu yang sama menutup, mengeji dan mengongkong media yang tidak selari dengan kerajaan - seorang eksekutif kanan mereka mendedahkan hakikat sebenarnya.

Agensi berita Bernama dua hari lalu melaporkan pendedahan editor kumpulan New Straits Times . Kata-kata Datuk Ahmad Talib itu, selain mengesahkan tuduhan banyak pihak selama ini, semacam melepas geram terhadap lingkungan yang merimaskannya.

Ahmad dilaporkan berkata "kewibawaan media (arus perdana) turut tergugat bersama pihak-pihak yang dipertikaikan wibawa mereka oleh orang ramai." Pihak-pihak itu termasuklah badan kehakiman, polis, ahli politik dan ulama, katanya.

Akibat mengikut telunjuk pihak berkuasa, media arus perdana hilang kewibawaannya dan orang ramai akhirnya lebih mempercayai khabar angin, khususnya seperti yang disebarkan melalui Internet, katanya lagi seperti dilaporkan.

Malang lagi, tidak semena-mena berita itu terpaksa 'dibakul-sampahkan'. Dengar cerita, berita itu hanya sempat bernafas beberapa jam sebelum menemui ajal. Munasabah pendedahan menggemparkan dan paling berterus-terang itu tidak disiarkan dalam akhbar-akhbar semalam.

Inikah media yang ingin ditonjolkan 'berakhlak, berwibawa dan sah' untuk 'jati diri' rakyat negara ini?


FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai editor berita malaysiakini