Kepercayaan PAS terhadap kewibawaan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mungkin terhakis sekiranya suruhanjaya itu terus menerus menuduh PAS terbabit dalam usaha memindahkan para pengundi ke kawasan lain, kata ahli jawatankuasa PAS pusat, Dr Hatta Ramli hari ini.

Katanya, setiap kali ada pemimpin Umno yang membuat tuduhan terhadap PAS mengenai perkara itu, SPR menganggapnya seperti bukti sahih dan melemparkan tuduhan yang tidak berasas terhadap parti pembangkang itu.

Dr Hatta mengulas laporan yang memetik pengerusi SPR, Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman yang mendakwa PAS menggesa ahli-ahlinya menukar alamat dalam kad pengenalan mengikut tempat mereka hendak mengundi, dan menyifatkannya sebagai "perbuatan menipu dan mencuri demokrasi rakyat dan negara ini".

Kenyataan Abdul Rashid itu ekoran dakwaan naib presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa PAS telah menyebar risalah meminta ahli-ahlinya supaya berbuat demikian, sebagai usaha menawan kawasan sasaran kemenangan dalam pilihanraya akan datang.

Malah, Abdul Rashid mendakwa pihak SPR telah melihat pekeliling bercop lambang PAS yang menggesa ahlinya di seluruh negara menukar alamat.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Dr Hatta berkata SPR sepatutnya menghubungi PAS untuk mengesahkan perkara itu terlebih dahulu, dan bukannya terus membuat kesimpulan berdasarkan apa yang didakwa oleh Najib.

Hilang kepercayaan

"Ini tidak. Apa yang pemimpin Barisan Nasional (BN) cakap, maklumat berkenaan dianggap sebagai bukti sahih. Tanyalah kita dulu," katanya kepada malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

"Adalah sesuatu yang bodoh bagi kita hendak membuat pekeliling sebegitu. Kalau kenyataan seumpama itu datangnya daripada SPR...maka kita boleh hilang kepercayaan (kepada SPR) dan macam mana nak bekerjasama dengan suruhanjaya itu," tegas Dr Hatta.

Dr Hatta hairan mengapa SPR tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap PAS seandainya suruhanjaya itu mempunyai bukti yang PAS berbuat demikian.

Sebaliknya, tegas beliau, tindak-tanduk suruhanjaya itu dilihat seolah-olah ianya telah "menjadi jurucakap kepada BN".

"Ambillah tindakan undang-undang, termasuk juga dakwaan mengenai 20,000 pengundi orang Siam yang dibuat oleh Datuk Mustapha Mohamad (pengerusi Umno Kelantan) sebelum ini," tegasnya.

"Kita akan membincang perkara ini. Kita anggap serius dakwaan SPR yang dibuat tanpa usul periksa dan dipengaruhi oleh dakwaan BN," tambahnya.