Kerajaan memandang berat kewujudan kumpulan militan dan pengganas, walaupun bergerak di negara jiran kerana mereka juga boleh menimbulkan ancaman kepada Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut laporan Bernama , Abdullah yang juga menteri dalam negeri berkata pada masa ini ancaman keganasan sering merentasi sempadan.

"Orang yang nak melakukan sesuatu (yang buruk) kepada negara kita mungkin melakukannya di luar negara kita. Mungkin rancangan hendak menjatuhkan kerajaan dirancang di negara lain," katanya kepada pemberita sempena lawatan seharinya ke Terengganu hari ini,

Sehubungan itu, katanya, Malaysia akan menghubungi Singapura bagi mendapatkan maklumat mengenai kegiatan kumpulan Jemaah Islamiah (JI) yang dikaitkan dengan al-Qaeda.

Menurutnya, kerajaan memandang serius ancaman kumpulan yang mampu memudaratkan keselamatan negara dan boleh menimbulkan krisis di kalangan rakyat secara melaga-lagakan antara kaum dan agama.

Pemusuhan kaum

Abdullah berkata tindakan melaga-lagakan itu jika cepat ditangani, akan mencetuskan banyak masalah dan mungkin mengakibatkan kerugian, kemusnahan dan pergaduhan.

Sejak Disember lalu, kerajaan Singapura dilaporkan telah menangkap 31 anggota JI kerana disyaki merancang kegiatan keganasan di republik itu. Turut dilaporkan, antara agenda kumpulan itu ialah mengapi-apikan permusuhan kaum dan agama di Malaysia dan Singapura.

Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerjasama antara Malaysia dan Singapura telah lama terjalan dalam penyaluran maklumat, terutama yang membabitkan masalah bersama.

Katanya, melalui maklumat yang bakal diperolehi dari Singapura, kerajaan boleh mengesan sekiranya kumpulan itu bergiat di negara ini dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

"Kita akan kesan mereka walau nama apa sekalipun yang digunakan kumpulan berkenaan kerana mereka ini menjurus kepada tindakan pengganas yang bertindak di luar batasan undang-undang," katanya.

Perbuatan sabotaj

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat perhubungan Umno Terengganu, Abdullah berkata tindakan pegawai-pegawai kanan kerajaan membocorkan rahsia kerajaan dan bekerjasama dengan pembangkang boleh dianggap sebagai "perbuatan sabotaj".

"Itu tentu sekali sabotajlah," katanya sebagai reaksi terhadap laporan bahawa ada pegawai kanan kerajaan bekerjasama memberikan maklumat tertentu mengenai kewangan negara kepada pakatan parti pembangkang yang merangka "Strategi Belanjawan Alternatif 2003".

Abdullah berkata kemungkinan maklumat yang dibekalkan oleh pegawai kerajaan itu bukan diklasifikasikan sebagai rahsia dan tidak menjadi kesalahan, tetapi sebagai pegawai kerajaan, perbuatan memberikan kerjasama kepada parti pembangkang adalah tidak wajar.

"Bagi pegawai kerajaan yang bersubahat dengan pihak pembangkang ini memang tak kenalah, tak kena langsung," katanya .

Ditanya bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap pegawai kerajaan terbabit, beliau berkata kerajaan mempunyai jawatankuasa disiplin khusus bagi kakitangan kerajaan dan terpulanglah kepada jawatankuasa itu untuk mengenakan tindakan sewajarnya.