Aduan polis: Nik Aziz didakwa kata Mahathir tidak tahu baca al-Quran
Selepas Datuk Nik Aziz Nik Mat dituduh membuat kenyataan bahawa Allah samseng, seorang peniaga di Kelantan membuat aduan polis terhadap menteri besar Kelantan itu kerana didakwa mengeluarkan kenyataan kononnya Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad tidak tahu membaca al-Quran.
Menurut laporan Bernama , peniaga terbabit, Mohd Zain Yassim, 37, dari Bachok, membuat aduan itu di Ibu Pejabat Daerah Polis Bachok pada jam 5.40 petang semalam.
Bercakap kepada pemberita di Bachok hari ini, Mohd Zain mendakwa Nik Aziz mengeluarkan kenyataan itu ketika berucap dalam satu majlis pemimpin bersama rakyat di Sekolah Menengah Agama Arab Beris Lalang di sini, kira-kira jam 11 malam, Jumaat lalu.
Mohd Zain berkata dalam ucapan itu, Nik Aziz selaku penceramah utama pada malam itu berkata: "Yang jadi peliknya, dia (Dr Mahathir) sendiri sebut acap kali dalam ucapan penggulungan, sebelum letak jawatan, saya tak reti baca Quran, bagaimana nak balah dengan orang reti baca Quran".
Mohd Zain yang juga Ketua Pemuda Umno Bachok, mendakwa ucapan itu ditujukan kepada Dr Mahathir yang membuat ucapan penggulungan di Perhimpunan Agong Umno 2002 yang lalu.
Hilang keyakinan
Menurutnya. beliau terkilan dengan kata-kata Nik Aziz itu dan beranggapan ia boleh menghasut dengan niat untuk memecah-belahkan rakyat supaya hilang keyakinan terhadap Perdana Menteri.
"Saya dengan sesungguh hati meminta pihak polis menyiasat perkara ini dan sekiranya benar maka ia hendaklah dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan atau apa-apa yang sewajarnya dengannya," katanya.
Mohd Zain berkata beliau turut menyerahkan kaset rakaman ucapan Nik Aziz itu kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok ASP Hafik Jabil mengesahkan polis menerima laporan berhubung perkara itu pada pukul 5.40 petang semalam.
Beliau berkata siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Video lucah
Nik Aziz sebelum ini menjadi sasaran Umno apabila beliau didakwa membuat kenyataan bahawa Allah samseng.
Sebelum ini, ketika berlangsungnya pilihanraya kecil Indera Kayangan di Perlis Januari lalu, Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS telah menggunakan istilah 'barua' terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin kerana menjadi khatib sembahyang Jumaat yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Khamis lalu, pegawai penerangan PAS Kelantan dan bekas ahli Parlimen PAS Bachok, Buniyamin Yaacob dihadap di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu atas tuduhan memfitnah Dr Mahathir.
Buniyamin, 56, didakwa memfitnah Dr Mahathir dalam ceramahnya di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, Kota Bharu, antara jam 10 malam dan 11.30 malam pada 15 Mac lalu. Di dalam ceramah itu, Bunyamin dikatakan mendakwa Perdana Menteri menonton video lucah bersama cucunya.
Beliau dituduh mengeluarkan tohmohan pada 15 Mac lalu di antara jam 10 malam hingga 11.30 malam di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa. Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Kesiksaan yang membawa hukuman dua tahun penjara atau denda atau kedua-dua jika sabit kesalahan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.