Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Pemuda, Wanita Umno semak senarai pengundi Parlimen Gaya
Published:  Sep 24, 2002 9:47 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Pergerakan Pemuda dan Wanita Umno sedang memastikan pengundi-pengundi yang ada dalam senarai daftar pemilih parti, sama dengan nama yang ada dalam daftar pengundi yang dipakai oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi pilihanraya kecil Parlimen Gaya pada 12 Oktober ini.

"Kita hendak pastikan tidak ada kekeliruan. Kita harap SPR akan memaklumkan kepada kita secepat mungkin daftar pengundi yang akan dipakai itu," kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Menurut laporan Bernama , beliau berkata, Barisan Nasional (BN) tidak mahu mana-mana pengundi yang namanya sudah ada dalam daftar yang digunakan oleh parti tetapi tidak dapat mengundi kerana tidak ada dalam daftar SPR

Mengenai bakal calon BN bagi pilihanraya kecil itu, Abdullah juga berkata, ia akan ditentukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sekembalinya daripada mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) di Denmark.

"Perkara ini akan kita kemukakan kepada perdana menteri apabila beliau pulang nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas dengan para pemimpin BN negeri di Kota Kinabalu hari ini.

Kemenangan besar

Abdullah berkata semua parti komponen yang hadir dalam mesyuarat khas itu yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Datuk Chong Kah Kiat yang juga Pengerusi BN Sabah, memberi jaminan akan menyokong dan membantu calon BN dalam pilihan raya kecil itu nanti.

"Semuanya bermuafakat, semuanya bersetuju akan sokong siapa juga yang akan ditempatkan sebagai calon Barisan Nasional.

"Kita yakin dengan muafakat yang ditunjukkan, dengan izin Tuhan, kemenangan ini akan menjadi satu-satunya kemenangan yang besar bagi kawasan ini," katanya.

Kerusi Gaya kosong selepas penyandangnya Datuk Yong Teck Lee, Presiden Parti Maju Sabah, hilang kelayakannya selepas mahkamah mendapati beliau bersalah melakukan rasuah dalam pilihanraya 1999.

Penamaan calon bagi pilihanraya kecil itu ditetapkan pada 3 Oktober dan jika ada pertandingan, pengundian akan diadakan pada 12 Okt ini.

Dalam pilihanraya lalu, Yong meraih 15,315 untuk menewaskan dua calon dengan kelebihan 4,117 undi. Gaya mempunyai 49,426 pemilih.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS