Kabinet ucap takziah kepada keluarga Aminulrasyid
Kabinet yang bermesyuarat hari ini melahirkan rasa sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga adik Aminulrasyid Amzah, 15, yang terbunuh dalam satu kejadian yang membabitkan pihak polis di Shah Alam, 26 April lalu.
"Kejadian ini amat mendukacitakan," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Sehubungan itu, Kabinet mahukan agar siasatan kes tersebut dijalankan dengan adil, telus dan secepat mungkin agar semua pihak terutamanya pihak keluarga dan anggota polis yang terbabit mendapat keadilan, menurut kenyataan itu.
"Kabinet mahu panel ini (panel penyiasat yang ditubuhkan oleh Kementerian Dalam Negeri) dan pihak polis menjalankan siasatan yang menyeluruh bagi memastikan apa yang sebenarnya telah berlaku pada hari tersebut," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Kabinet juga mahu semua pihak yang terbabit dalam kes ini memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak panel dan polis dalam menjalankan tugas mereka.
'Oleh yang demikian, Kerajaan harap semua pihak akan menunggu hasil siasatan panel ini dan tidak lagi membuat sebarang andaian mengenai kes ini sehingga bukti yang jelas dapat dizahirkan," katanya.

