Universiti Malaya diseru tidak tunduk kepada tekanan sebarang pihak, termasuk Kementerian Pendidikan, untuk mengambil tindakan ke atas seorang pensyarahnya selepas beliau mengupas isu sekolah Cina Damansara.

Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali, yang juga bekas kakitangan akademik kanan di universiti itu, menggesa demikian dalam surat terbukanya kepada Naib Canselor Profesor Datuk Dr Anuar Zaini Md Zain.

Profesor Madya Chia Oai Peng, pensyarah Fakulti Kesusasteraan dan Sosial Sains, diberikan surat itu oleh universiti itu pada 6 Februari lalu.

Tindakan itu diambil sebagai meminta penjelasan Chia berhubung tulisannya melalui emel yang dihantar kepada kumpulan perbincangan di Internet yang dikhususkan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Damansara.

Syed Husin berkata, ketika berkhidmat sebagai anggota Senat dan Majlis Universiti, beliau memerhatikan Anuar adalah seorang ahli akademik dan pentadbir yang sangat prihatin tentang kebebasan atau autonomi universiti.

"Saudara (Anuar) adalah sebilangan kakitangan universiti yang selalu bersedia bersuara mengikut hati dan fikiran apabila ada pihak, termasuk kementerian atau pentadbiran kerajaan, yang cuba melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kebebasan universiti," kata Syed Husin lagi dalam surat itu, satu salinannya diperolehi malaysiakini .

Pemimpin pembangkang itu berharap Anuar tidak mudah bertolak-ansur terhadap tekanan kerajaan.

"(Jika ada tekanan) untuk mengambil tindakan yang keras ke atas Chia Oai Peng, saudara (diharapkan) tidak akan menerimanya dengan mudah saja," kata Syed Husin lagi.

Surat terbuka itu juga bagaimanapun menyebutkan Anuar pernah memberikan jaminan kepada Presiden PRM itu bahawa "kes ini belum diambil tindakan lagi kerana masih menunggu jawapan Chia."

Malaysiakini sebelum ini melaporkan, Chia sudah menjawab surat tunjuk sebab itu.

Kebenaran menteri

Dalam surat kepada Chia, Anuar berkata beliau dimaklumkan oleh pegawai khas Menteri Pendidikan bahawa pensyarah itu telah menghantar tulisan yang menyokong cadangan agar sekolah yang berusia lebih 70 tahun itu dikekalkan dan oleh itu, ia dianggap bercanggah dengan pandangan kerajaan dan melanggar peraturan universiti.

Menurut Akta Badan-badan Berkanun 2000 (Tatatertib dan Surcaj), peraturan 18 (1) menyebutkan "seseorang pegawai (awam) tidak boleh (membuat kenyataan umum), sama ada lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain dan tanpa kebenaran bertulis daripada Menteri Pendidikan."

Syed Husin menegaskan universiti tidak harus dianggap seperti badan kerajaan yang biasa dan kakitangan akademik tidak harus dilayan seolah-olah pegawai kerajaan semata-mata.

"Universiti ialah sebuah pusat ilmu pengetahuan yang perlu serta harus menggalakkan cara berfikir yang kritis di kalangan kakitangan dan pelajarnya," kata Syed Husin.

"(Universiti patut) membenarkan pandangan yang munasabah dan bertanggungjawab disuarakan tentang isu-isu semasa, walaupun ia berbeza dengan pendirian universiti atau kerajaan sendiri."

Syed Husin juga berkata Chia dikenali sebagai seorang ilmuan dan anggota masyarakat yang sering mengeluarkan pandangannya secara kritis dan bertanggungjawab terhadap pelbagai isu kemasyarakatan, khususnya pendidikan.

Beberapa hari lalu, semua 74 orang murid yang enggan berpindak ke SJK Puay Chai II, termasuk lapan yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah, telah dipecat daripada sekolah itu. Mereka kini belajar dalam kelas-kelas yang dibina daripada kotak kontena di sebuah tokong berdekatan sekolah lama di Seksyen 17, Petaling Jaya, Selangor.