Kes hasutan Karpal: Pihak pendakwaan tutup kes
Pihak pendakwaan hari ini menutup kesnya selepas memanggil 20 saksi dalam perbicaraan kes hasutan Pengerusi DAP dan peguam, Karpal Singh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin memberitahu mahkamah selain para saksi yang telah memberikan keterangan, pihak pendakwaan juga menawarkan baki 43 orang dalam senarai saksi.
Ram Karpal Singh, yang membantu bapanya dalam perbicaraan itu, memberitahu mahkamah yang pihak pembelaan memerlukan masa untuk membuat persediaan kerana hanya menerima sebahagian nota mengenai prosiding daripada mahkamah pada Rabu.
Hakim Azman Abdullah menetapkan 24 Mei bagi kedua-dua pihak menyampaikan hujahan.
Pada 17 Mac tahun lalu, Karpal Singh minta dibicarakan terhadap pertuduhan mengeluarkan perkataan berunsur hasutan pada sidang akhbar mengenai Sultan Perak di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co, Jalan Pudu Lama, di Kuala Lumpur antara 12 tengah hari hingga 12.30 tengah hari pada 6 Februari 2009.
Karpal Singh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan menghadapi hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
- Bernama

