PKFZ: Permohonan injunksi Wee ditolak
MAHKAMAH-WEE/I
MAHKAMAH TOLAK PERMOHONAN INJUNKSI DR WEE KA SIONG
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong untuk mendapatkan injunksi bagi menghalang Tan Sri Robert Phang dan Star Publications (M) Berhad daripada terus menyiarkan kenyataan didakwa fitnah yang mengaitkan beliau dengan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Pesuruhjaya Kehakiman Prasad Sandosham Abraham turut menolak permohonan berasingan oleh Phang dan Star bagi mengetepikan perintah injuksi sebelah pihak yang diperoleh Wee pada 22 Jan 2010.
Prasand berkata permohonan sebelah pihak oleh Wee yang difailkan pada 22 Jan lalu gagal menyatakan sebarang keadaan khas untuk mahkamah membenarkan perintah itu.
Mengenai permohonan Phang dan Star, Prasad memutuskan bahawa injunksi sebelah pihak yang diberikan kepada Wee tidak lagi berkuatkuasa kerana tempoh 21 hari telah pun berlalu.
"Tiada apa lagi untuk diketepikan memandangkan injunksi yang diberikan kepada Wee itu telah pun luput," kata Prasand, sambil menambah kes itu sepatutnya dibicarakan. Suatu tarikh akan ditetapkan kemudian untuk pengurusan kes.
Pada 9 Feb, Wee memfailkan saman fitnah dengan menamakan Phang, anggota jawatankuasa penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan penerbit akhbar harian berbahasa Inggeris itu sebagai defendan berhubung empat artikel yang disiarkan antara 25 Dis 2009 dan 12 Jan 2010.
Wee, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, mendakwa artikel itu difahami untuk membawa maksud bahawa beliau terbabit dalam atau melakukan perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Wee turut memohon perintah untuk menghalang defendan daripada memanggil atau mencadangkan bahawa beliau adalah seorang "pembuli, pengecut dan pembohong" serta turut memohon ganti rugi.
Phang, 71, yang juga pengerusi Yayasan Sosial Penyayang, dalam pernyataan pembelaannya, berkata kenyataannya adalah satu komen yang adil dan dibuat berdasarkan perlindungan bersyarat.
Turut mendakwa memperoleh perlindungan bersyarat, Star berkata sebagai sebuah penerbit berita yang bertanggungjawab, syarikat berkenaan mempunyai tanggungjawab sosial dan moral untuk melaporkan serta menerbitkan berita dan kenyataan berhubung pembabitan Wee dalam PKFZ.
Ini kerana isu itu menjadi kepentingan awam memandangkan beliau adalah seorang ahli politik dan orang ternama.
Peguam Ben Chan mewakili Wee, Ang Hean Leng hadir bagi pihak Phang manakala Yee Mei Ken pula adalah peguam bagi Star Publications.
- Bernama

