Singapura dedah sasaran balas dendam JI
Singapura berkata Mas Selamat Kestari, pemimpin disyaki Jemaah Islamiah (JI) di Singapura dan pemimpin JI Indonesia Riduan Isamudin atau Hambali, merancang serangan balas dendam dengan mensasarkan menara kawalan Lapangan Terbang Changi, Singapura.
Dalam satu temubual dengan akhbar The New Paper , Menteri Dalam Negeri Singapura Wong Kan Seng dipetik sebagai berkata Hambali, yang marah dengan penahanan 13 anggota JI oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) tahun lalu, memutuskan untuk bertindak balas.
Menurut laporan Bernama , Wong sebelum itu mendedahkan bahawa beberapa orang daripada 13 yang disyaki anggota JI yang ditahan Singapura Disember lalu, telah menamakan ulama Indonesia Abu Bakar Bashir sebagai pemimpin kumpulan militan itu dan pendakwah Indonesia, Hambali, sebagai orang kanannya.
"Selepas penangkapan pada Disember 2001, Hambali menemui anggota lain di Johor dan memberitahu mereka supaya meneruskan persediaan untuk melakukan serangan pengganas.
"Dia mahu bertindak balas terhadap tindakan kerajaan Singapura kerana melakukan penangkapan itu serta menunjukkan bahawa serangan anti-Amerika akan terus dilakukan walaupun selepas penangkapan itu," katanya. Bagaimanapun, rancangan mereka itu tidak pernah dilaksanakan, kata Wong.
Misi pengintipan
Walaupun menjadi orang paling dikehendaki di Singapura dan di Malaysia serta dipercayai bersembunyi di Indonesia, Hambali mampu menyelinap masuk ke Malaysia, kata Wong.
Beliau berkata Mas Selamat pula menerima arahan daripada para pemimpin JI Malaysia yang sering bertemunya di Johor.
Wong berkata sasaran Mas Selamat, yang dinyatakan kepada anggota lain JI pada Disember lepas, ialah Lapangan Terbang Changi.
Wong juga menyatakan bahawa tidak ada rancangan serangan yang khusus atau muktamad ke atas Lapangan Terbang Changi walaupun terdapat beberapa misi pengintipan.
Menteri itu bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut bagaimana JI merancang untuk melaksanakan serangannya itu.
Gambar-gambar lapangan terbang itu diambil oleh anggota-anggota JI antara 1999 dan 2001. Anggota-anggota yang disyaki itu ialah antara 18 yang ditahan baru-baru ini.
Awal tahun ini, Perdana Menteri Goh Chok Tong mendedahkan bahawa Mas Selamat merancang untuk merampas sebuah pesawat dan menghempaskannya di Lapangan Terbang Changi.
Dia dipercayai melarikan diri bersama-sama empat yang lain ke Malaysia Januari lalu dan kemudian ke Thailand sebelum ke Medan di Indonesia.
Wong berkata waran antarabangsa telah dikeluarkan bagi penangkapan mereka.

