Nenek sebatang kara pohon bantuan
Tidak seperti warga emas lain yang rata-ratanya menikmati keselesaan hidup di penghujung usia emas, Bongsu Mamat, 81, sebaliknya hidup sebatang kara di pondok usang dan terpinggir daripada segala kemudahan asas.
Bongsu, yang hidup seorang diri di Kampung Durian Pahit, dekat Kota Bharu kerana mendakwa dipinggirkan anggota keluarga, berkata kemiskinan hidup dan kudrat yang semakin hilang menyebabkan beliau tidak lagi mampu melakukan sebarang pekerjaan.
"Macam inilah hidup makcik..makcik memang tinggal seorang diri di pondok ni..tak dok (tiada) api (elektrik), air...
"Air guna air telaga, terpaksalah berjalan lebih kurang 500 meter untuk ke telaga dan tandas yang terletak di belakang rumah setiap hari," katanya ketika ditemui di pondok usangnya.
Beliau berkata suaminya, Hassan Deraman yang merupakan bekas askar (Jungle Company) meninggal dunia pada usia 50 tahun.
Bongsu berkata pondok yang didiaminya kini langsung tiada kemudahan tenaga elektrik menyebabkan beliau terpaksa menggunakan pelita serta lilin setiap kali malam menjelma.
"Makcik ada penyakit jantung, darah tinggi dan lelah (asma), sudah banyak melakukan rawatan namun kesihatan masih tidak pulih dengan baik, lama-lama tak mampu dan tak larat juga untuk pergi ke hospital seorang diri.
"Walaupun sakit, makcik tidak takut tinggal sorang dan hanya berserah kepada Allah bagaimana kesudahan hidup makcik ini," katanya mengalirkan air mata memikirkan nasibnya yang sudah uzur itu.
Bongsu yang mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak angkat yang telah meninggal dunia itu, berkata beliau kini bergantung sepenuhnya kepada sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan untuk menyara kehidupan.
Beliau berkata harapannya kini adalah meminta pihak yang sudi memberi bantuan agar beliau dapat menikmati bekalan elektrik dan air selain turut menghulurkan bantuan untuk membantu beliau membaiki pondoknya yang usang itu.
- Bernama

