DAP yang berhasrat untuk meletakkan calonnya bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Gaya 12 Oktober ini, tidak sepatutnya 'menghalang' Keadilan daripada turut sama bertanding di situ, kata naib presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

"Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, setiap parti politik berhak bertanding dalam mana-mana pilihanraya umum ataupun pilihanraya kecil," katanya kepada malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Katanya, semakin banyak parti bertanding, maka semakin terserlah sistem demokrasi di negara ini.

Muhd Taib menegaskan demikian ketika diminta mengulas laporan dalam malaysiakini yang menyebut 'harapan' DAP agar Keadilan tidak meletakkan calonnya di Gaya bagi membolehkan pertandingan satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, mesyuarat Majlis Tertinggi Keadilan semalam telah memutuskan untuk meletakkan calon mereka, Christian Liew, yang juga timbalan ketua Keadilan Sabah, untuk bertanding dalam pilihanraya kecil itu.

Calon DAP bagi pilihanraya kecil itu ialah pengerusi DAP cawangan Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu.

Mengulas lanjut mengenainya, Muhd Taib berkata, DAP sepatutnya menyedari hakikat ini dan tidak mengharapkan kemenangan berdasarkan bantuan orang lain, sebaliknya hendaklah berdasarkan kekuatan sendiri.

Rasuah

Kerusi Gaya kosong selepas penyandangnya Datuk Yong Teck Lee, Presiden Parti Maju Sabah, hilang kelayakannya selepas mahkamah mendapati beliau bersalah melakukan rasuah dalam pilihanraya 1999.

Penamaan calon bagi pilihanraya kecil itu ditetapkan pada 3 Oktober dan jika ada pertandingan, pengundian akan diadakan pada 12 Okt ini.

Dalam pilihanraya lalu, Yong meraih 15,315 untuk menewaskan dua calon dengan kelebihan 4,117 undi. Gaya mempunyai 49,426 pemilih.

Ditanya mengenai Puteri Umno, Muhd Taib berkata, isu pemilihan pertama Puteri Umno mendapat perhatian umum kerana ia membabitkan perebutan bagi jawatan tertinggi pergerakan itu.

"Sekiranya terdapat sebarang aduan, ianya akan dirujukkan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk siasatan. Sepertimana jawatankuasa disiplin akan diaktifkan sewaktu berlangsungnya pemilihan parti," tegasnya.