Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan tindakan kerajaan Kanada mengenakan visa terhadap rakyat negara ini sebagai tidak adil kerana ia menunjukkan negara itu menganggap Malaysia sebagai pusat penganas.

"Adalah tak adil kita menjadi sasaran sebagai sebuah negara yang merupakan pusat pengganas, tidak adil untuk tanggapan itu terhadap Malaysia kerana kita amat tegas di dalam membanteras sebarang bentuk keganasan dan telah mengambil tindakan menahan penganas," katanya.

Menurut laporan Bernama , Najib berkata, Malaysia telah menahan berpuluh-puluh orang yang mempunyai kaitan dengan kumpulan penganas, baru-baru ini.

Beliau memberitahu pemberita sedemikain selepas selepas menyampaikan ucapan bertajuk"Keselamatan dan Dasar Pertahanan Malaysia Pada Dekad Akan Datang" di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera di Kuala Lumpur hari ini.

Selasa lalu, Jabatan Imigresen Kanada menguatkuasakan peraturan mengenakan visa terhadap rakyat Malaysia yang memasuki negara itu ekoran kebimbangan bahawa pasport negara ini terdedah kepada penyalahgunaan.

Maklumat perisikan

Sebelum ini, rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk memasuki Kanada kerana kedua-duanya merupakan negara anggota komanwel. Selain Malaysia, Kanada turut mengenakan peraturan yang sama terhadap rakyat Arab Saudi.

Najib berkata agensi keselamatan Malaysia-Kanada boleh bertukar-tukar maklumat perisikan bagi membolehkan kedua-dua pihak mengetahui siapa penganas atau militan.

Mereka yang telah dikenal pasti sebagai penganas itu bolehlah dihalang daripada memasuki kedua-dua negara terbabit, katanya.

"Kalau mereka (Kanada) hendak tahu sesiapa yang boleh disifatkan sebagai militan atau penggans, kita boleh bertukar-tukar maklumat perisikan antara kedua-dua negara supaya orang-orang tertentu tidak dibenarkan masuk," katanya.

Ditanya sama ada tindakan Kanada itu disebabkan tekanan oleh Amerika Syarikat, Najib berkata: "Saya tidak tahu, tetapi kita merasakan ia sememangnya tidak adil."

Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia Jean McCloskey hari ini menafikan peraturan baru imigresen negara itu berpunca daripada tekanan negara jirannya, Amerika Syarikat.