Nik Aziz sedia mohon maaf kepada Dr Mahathir
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia memohon maaf secara terbuka kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad kerana tersalah cakap apabila mengatakan Perdana Menteri tidak tahu membaca Al-Quran.
Menurut laporan Bernama , Nik Aziz berkata, beliau akan membuat permohonan maaf itu dalam ceramahnya akan datang dan berharap pihak media dapat menyiarkannya.
"Saya (Nik Aziz) buat tu (tersalah cakap) dalam ceramah dan saya minta maaf pun dalam ceramah jugalah," katanya kepada pemberita selepas majlis solat hajat dan diikuti solat Subuh beramai-ramai di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan, Pengkalan Chepa di Kota Bharu hari ini.
Nik Aziz mengulas permintaan beberapa pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, supaya beliau memohon maaf kepada Perdana Menteri selepas mengaku tersalah cakap mengenai perkara itu.
Rabu lalu, Nik Aziz dilaporkan berkata apa yang sebenarnya ingin dikatakan beliau ialah Dr Mahathir tidak tahu berbahasa Arab.
Laporan polis
Isnin lalu, seorang peniaga di Kelantan, Mohd Zain Yassim, membuat aduan polis terhadap menteri besar Kelantan itu kerana didakwa mengeluarkan kenyataan kononnya Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad tidak tahu membaca al-Quran.
Mohd Zain mendakwa Nik Aziz mengeluarkan kenyataan itu ketika berucap dalam satu majlis pemimpin bersama rakyat di Sekolah Menengah Agama Arab Beris Lalang di Bachok, kira-kira jam 11 malam, Jumaat lalu.
Mohd Zain berkata dalam ucapan itu, Nik Aziz selaku penceramah utama pada malam itu berkata: "Yang jadi peliknya, dia (Dr Mahathir) sendiri sebut acap kali dalam ucapan penggulungan, sebelum letak jawatan, saya tak reti baca Quran, bagaimana nak balah dengan orang reti baca Quran".
Mohd Zain yang juga Ketua Pemuda Umno Bachok, mendakwa ucapan itu ditujukan kepada Dr Mahathir yang membuat ucapan penggulungan di Perhimpunan Agong Umno 2002 yang lalu.
Beliau turut menyerahkan kaset rakaman ucapan Nik Aziz itu kepada polis untuk tindakan selanjutnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.