Kajian kelemahan Bahasa Inggeris di sekolah yang dijalankan oleh jawatankuasa khas Kementerian Pendidikan telah siap dan akan dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

"Kementerian telah mengambil langkah-langkah proaktif dalam usaha meningkatkan prestasi penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar," kata Setiausaha Parlimen kementerian itu, Datuk Mahadzir Mohd Khir di dewan itu hari ini.

Beliau menjawab soalan Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang ingin mengetahui langkah kerajaan untuk memastikan penguasaan bahasa itu, khususnya di kalangan masyarakat Melayu.

Mahadzir juga memaklumkan jawatankuasa itu akan turut mengkaji kelemahan pengajaran guru-guru Bahasa Inggeris di luar bandar.

Beliau mengulas pertanyaan Datuk Abu Seman Yusop (BN-Alor Gajah) yang mendakwa guru di luar bandar tidak cekap berbahasa Inggeris dan mengajar bahasa itu dengan cara terjemahan daripada Bahasa Malaysia.

Menurut Mahadzir lagi, jawatankuasa itu telah memulakan kajian sejak Oktober tahun lalu.

Januari lalu, kerajaan mengumumkan bahawa jawatankuasa itu yang dipimpin oleh ketua Bahagian Pengembangan Kurikulum bertujuan meningkatkan tahap bahasa itu dan juga prestasi pelajar.

Dalam sesi soal jawab lisan, Bung Moktar juga bertanya sama ada kerajaan bercadang menubuhkan sekolah aliran Inggeris seperti pernah diperkenalkan awal kemerdekaan dahulu.

Kementerian tidak berhasrat melaksanakannya, kata Mahadzir lagi.

"Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris adalah sebagai satu matapelajaran. Kementerian masih berpegang kepada dasar negara iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar (di sekolah)," katanya.