Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan kes Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menyaman Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang didakwa menjual saham Guthrie Berhad beliau secara salah, pada Isnin ini.

NONE Hakim Datuk Rohana Yusuf membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Abdul Khalid untuk meneliti semua dokumen yang telah diserahkan oleh pihak bank Jumaat lalu.

Malik berkata, beliau baru sahaja dilantik menggantikan M Thomas Philip yang mewakili Abdul Khalid ( kanan ) sebelum ini setelah Philip dimasukkan ke hospital akibat demam denggi.

Hari ini sepatutnya bermula perbicaraan kes yang membabitkan dua saman - satu oleh Abdul Khalid terhadap bank itu dan satu lagi ialah saman balas bank berkenaan terhadap Menteri Besar Selangor itu.

Abdul Khalid menyaman BIMB pada 18 Mei 2007 kerana mendakwa bank itu telah melakukan kesalahan melupuskan saham beliau dalam Guthrie yang diperoleh menerusi pinjaman Al-Bai Bithaman Ajil (BBA) pada 30 April 2001.

Abdul Khalid memohon perintah bahawa terdapat kontrak cagaran antara beliau dan bank itu berhubung pinjaman berkenaan.

Abdul Khalid yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Guthrie dari 1995 hingga 2003, turut memohon ganti rugi daripada BIMB.

BIMB mengemukakan saman balas pada 24 Mei 2007 bagi mendapatkan balik RM66.67 juta kerana mendakwa Abdul Khalid melanggar perjanjian kerana tidak membayar balik pinjaman itu.

Pada Ogos 2009, Abdul Khalid diperintah oleh mahkamah membayar balik RM66.67 juta itu kepada BIMB tetapi Mahkamah Rayuan pada 3 Mac lepas memerintahkan kes itu didengar semula di Mahkamah Tinggi.

- Bernama