Usaha 40 anggota pertubuhan kerajaan (NGO) yang mengelarkan diri mereka sebagai Majlis Hak Asasai Manusia Berkesan untuk menggagalkan Malaysia daripada dipilih semula menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) Pertubuhan Bangsa Bersatu tidak berjaya.

Sebaliknya, pada persidangan semalam, Malaysia adalah antara 14 anggota baru menggantikan anggota yang tamat tempoh perkhidmatan.

Selain Malaysia, negara yang dipilih ialah Angola, Ecuador, Guatemala, Libya, Maldives, Mauritiana, Moldova, Poland, Qatar, Sepanyol, Switzerland, Thailand dan Uganda.

Anggota dipilih menerusi undian rahsia oleh negara anggota PBB dan akan berkhidmat bagi penggal tiga tahun mulai 19 Jun hingga 18 Jun 2013.

Menurut kenyataan Kementerian Luar di Kuala Lumpur  hari ini, Malaysia meraih 179 undi (95.2 peratus) daripada sejumlah 188 negara yang hadir untuk mengundi.

"Jumlah undi yang diraih mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia memainkan peranan positif and membina dalam kerja-kerja HRC" menurut kenyataan itu.

Malaysia pernah menjadi anggota aktif Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB sebelum ia dibubarkan dan digantikan dengan HRC pada 15 Mac, 2006, dengan matlamat menangani pencabulan dan keadaan hak asasi manusia di kalangan negara anggota PBB dan membuat perakuan mengenainya.

Majlis Hak Asasai Manusia Berkesan yang dianggotai 40 NGO itu, sebelum ini telah mengutuskan sepucuk surat kepada badan dunia itu bagi melahirkan kebimbangan mengenai tindak tanduk Malaysia yang didakwa mencabuli hak asasi.

Gabungan itu mendakwa mereka mewakili NGO dari setiap rantau di dunia.