Pelaksanaan Sains, Matematik dalam BI tidak ditangguh
Pelaksanaan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris tahun depan tidak akan ditangguhkan walaupun kerajaan mungkin membuat beberapa pindaan terhadap cara pelaksanaannya, kata Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamed.
Menurut laporan Bernama , beliau berkata, walaupun penggal persekolahan akan bermula Januari depan, kerajaan masih mempunyai masa yang cukup untuk membuat beberapa pindaan.
"Masalah yang timbul ialah di peringkat sekolah rendah dan bukan sekolah menengah. Yang kita tahu hampir seluruh masyarakat menerima pelaksanaan di peringkat sekolah menengah," katanya.
Menurutnya, kerajaan masih mempunyai masa untuk membuat pindaan kerana pengajaran secara rasmi bagi murid Tahun 1 hanya akan bermula pada Mac kerana mereka perlu memasuki kelas peralihan selama tiga bulan.
"Tahun 1 belum bermula secara rasmi pada Januari kerana ada tempoh peralihan daripada pra-sekolah kepada Tahun 1," katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Untuk Semua di Putrajaya hari ini.
Cara pelaksanaan
Kerajaan memutuskan semua sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam matapelajaran Sains dan Matematik bagi tahun satu, tingkatan satu dan enam rendah bermula tahun depan.
Bagaimanapun, Musa berkata kerajaan sedang mempertimbangkan sama ada terdapat sekolah yang akan dikecualikan daripada keputusan yang dibuat itu.
"Keputusan memang sudah ada. Perancangan itu akan mengikut keputusan asal dan jika ada pindaan untuk keputusan itu, kita akan jalankan beberapa pindaan mengenai cara pelaksanaannya," katanya.
Menurutnya, segala keputusan hanya akan diputuskan oleh kabinet setelah meneliti pelbagai aspek.
Sebanyak empat ucaptama dan 52 kertas kerja akan dibentangkan pada persidangan dua hari itu.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now