Bekas setiausaha politik Datuk Yong calon BN di Gaya

comments     Published     Updated

Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan pencalonan bekas setiausaha politik Datuk Yong Teck Lee bagi mewakili BN dalam pilihanraya kecil Parlimen Gaya.

Liew Teck Chan, 54, yang juga naib presiden Parti Maju Sabah (SAPP), dijangka menghadapi pertandingan tiga penjuru menentang calon daripada DAP dan Keadilan.

Sebelum ini, Keadilan dan DAP telahpun mengumumkan calon masing-masing bagi bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.

Keadilan mengumumkan timbalan ketua Keadilan Sabah, Christian Liew sebagai calonnya, manakala calon DAP ialah pengerusi DAP cawangan Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu.

Kerusi Gaya kosong selepas penyandangnya Yong yang juga presiden SAPP, hilang kelayakannya selepas mahkamah mendapati beliau bersalah melakukan rasuah dalam pilihanraya 1999.

Dalam pilihanraya lalu, Yong meraih 15,315 untuk menewaskan dua calon dengan kelebihan 4,117 undi.

Esok adalah hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Gaya dan pengundian ditetapkan pada 12 Oktober, jika ada pertandingan. Gaya mempunyai 49,427 pengundi, termasuk 76 pengundi pos.

Akar umbi

Menurut laporan Bernama , Ketua Menteri Datuk Chong Kah Kiat, ketika mengumumkan pencalonan Liew, menyifatkannya sebagai pemimpin akar umbi yang rapat dengan pengundi selepas 17 tahun membabitkan diri dengan khidmat masyarakat di Gaya.

Katanya, Liew yang berkhidmat sebagai ahli majlis Kota Kinabalu dari 1985 hingga 1991 dan sebagai pemimpin pembangun rakyat untuk kawasan Likas, sudah biasa dengan kehendak dan aspirasi penduduk di kawasan itu.

Liew juga pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dari 1996 hingga 1999 kepada setiausaha Umno Sabah, Datuk Yahya Hussin yang kemudiannya dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri dan Menteri Komunikasi dan Kerja Raya negeri. Yahya kini menjawat jawatan Menteri Sukan, Belia dan Kebudayaan Sabah.

Liew juga berkhidmat sebagai setiausaha jawatankuasa penyelaras BN bagi Gaya (P150) dari 1996 hingga 1999 dan bendahari dari 1999 hingga 20002.

Calon bebas

Sementara itu, presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joseph Pairin Kitingan berkata beliau terkejut dengan khabar angin bahawa parti itu mungkin menaja calon bebas bertanding pada pilihanraya kecil kerusi Parlimen Gaya.

"Ini tidak betul. PBS tidak akan lakukannya. Ini hanyalah dakwaan pihak yang mahu merosakkan imej PBS sebagai parti komponen BN," katanya sebagai mengulas khabar angin bahawa PBS akan menaja calon bebas pada pilihanraya kecil itu.

Sambil menolak andaian itu, beliau berkata PBS, yang menyertai semula BN pada awal tahun ini, setia kepada BN dan akan mematuhi keputusan pucuk pemimipin dalam memilih calon dari SAPP untuk bertanding kerusi itu.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In