Najib saran tubuh Bank Pembangunan Tenaga
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mencadangkan supaya sebuah "Bank Pembangunan Tenaga Bersih" dibangunkan bagi memacu pembangunan industri berkaitan tenaga yang bersih bagi manfaat negara-negara sedang membangun anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Dalam ucaptamanya pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang ke-6 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Najib berkata Malaysia sudah bersiap sedia untuk menerajui inisiatif itu.
"Oleh kerana tenaga bersih semakin menjadi tumpuan kerajaan dan aspek keselamatan bekalan tenaga menjadi keutamaan banyak negara, dengan sebahagian kecil menggunakan sumber hidro karbon, kelihatan terdapat potensi yang besar dalam pembangunan sumber tenaga alternatif," katanya.
Najib yang juga penaung WIEF berkata beliau harap cadangan mengenai penubuhan Bank Pembangunan Tenaga Bersih itu boleh dibincangkan pada Sesi Dialog Kepimpinan Khas berhubung Perubahan Iklim, WIEF.
"Realiti semasa perlu dikenal pasti, kita semua boleh dianggap bersalah kerana sering bertindak terlalu sedikit, terlalu lewat. Kini kita perlu melakukan lebih banyak lagi untuk membangunkan sumber tenaga alternatif yang dapat memenuhi keperluan bagi menghalang penjejasan alam sekitar," katanya.
Najib berkata lebih banyak kerjasama antara kerajaan diperlukan bagi merumuskan dasar dan melaksanakan program-program pilihan tenaga diperbaharui seperti biofuel.
Katanya satu lagi bidang bagi meningkatkan usaha bersama negara-negara untuk membina ekonomi yang kukuh serta mapan, dan masyarakat yang adil dan saksama, ialah dengan mengukuhkan usaha dalam pembangunan sumber, terutama dalam aspek pendidikan dan latihan.
"Tidak ada mana-mana negara Islam yang boleh boleh menjadi pemimpin dalam sebarang bidang tertentu, sekiranya ia tidak membuat pelaburan sewajarnya dalam pendidikan," katanya.
Sehubungan itu Najib mencadagkan supaya satu Dana Pembangunan Khusus ditubuhkan bagi membangunkan infrastruktur pendidikan dan menyokong latihan perguruan serta penyelidikan akademik.
"Dengan struktur, pengurusan dan pengunaannya yang teratur, dana sebegini akan dapat mengurangkan jurang pendidikan yang wujud antara negara Islam dan bukan Islam," katanya.
Najib berkata oleh kerana isu yang dihadapi oleh dunia Islam lebih mendesak, negara anggota tidak boleh hanya menjadi pemerhati sahaja, sebaliknya perlu mengorak langkah revolusi yang boleh mencapai transformasi yang hebat buat negara-negara anggota, dan dunia Islam.
- Bernama

